Insiden Putra Heights: Polis lengkapkan siasatan, tunggu hasil siasatan JKKP

1 day ago 10

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai melengkapkan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights termasuk siasatan membabitkan unsur kecuaian atau khianat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dijangka dikeluarkan penghujung bulan depan.

Beliau berkata, setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas telah membantu pihak polis mengeluarkan spesimen yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

“Pada masa ini, kami masih menunggu pihak JKKP melengkapkan siasatan mereka. Pihak polis dan agensi seperti JKR dan Petronas telah membantu mereka mengeluarkan spesimendiperlukan.

“Jadi, sekarang ini kami sedang menunggu analisis lanjut oleh pihak JKKP, yang melibatkan analisis makmal. Ada pelbagai teknik diguna ke atas spesimen paip yang diambil di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, sekurang-kurangnya ada lima spesimen (paip) telah dikeluarkan untuk siasatan ataupun analisa lanjut oleh JKKP.

Katanya, manakala agensi lain yang terlibat dalam siasatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains juga telah selesai mengambil sampel yang diperlukan.

Hussein berkata, selepas melengkapkan laporan kesemua agensi ini barulah pihaknya dapat menyimpulkan apa penyebab insiden letupan itu.

“Mereka (pihak terlibat dalam siasatan) akan dapatkan hasil analisis, barulah mereka boleh conclude sebab-sebab yang menyebabkan letupan itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, keseluruhan lokasi insiden kini telah diserahkan kepada Petronas untuk proses-proses pemulihan.

Ditanya adakah jengkaut yang dikatakan terbenam akibat letupan paip gas di Putra Heights telah dikeluarkan, beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti lokasi jengkaut itu, namun jentera itu belum dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |