KOTA KINABALU – Doktor pertama menerima dan merawat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir selepas tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) tidak menjumpai sebarang kecederaan kod bar (barcode injury) pada mana-mana bahagian lengan tangan remaja terbabit.
‘Barcode injury’ merujuk kepada kecederaan disebabkan objek tajam yang dibuat secara sengaja dan berulang-ulang dan kelihatan seperti kor bar pada produk.
Kecederaan sebegini sering dikaitkan dengan individu yang mempunyai kecenderungan untuk melukakan dirinya sendiri (self harm) disebabkan pelbagai faktor termasuk tekanan emosi.
“Sewaktu pesakit (Zara Qairina) tiba di Jabatan Kecemasan JQE, kami telah menjalankan pemeriksaan segera (termasuk) tangan dan lengan dan mendapati terdapat ‘deformity’ pada tangan kanan jadi kami telah pakaikan ‘splint’ pada pesakit.
“Itu kecederaan awal yang kami lihat ketika itu ialah close fracture (parah tulang tanpa sebarang luka menembusi kulit) dan (tiada) berkaitan ‘barcode injury’,” kata Dr. Janefer Voo yang merupakan pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan HQE.
Saksi ketiga inkues itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam, Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang remaja yang didakwa membuli Zara Qairina.
Selain itu, Dr. Voo ketika disoal oleh peguam, Abdul Fikry Jaafar Abdullah turut memberitahu beliau turut tidak menemukan sebarang garis-garis merah di bahagian belakang badan remaja itu.
Abdul Fikry merupakan peguam yang mewakili empat remaja yang turut didakwa membuli Zara Qairina.
Difahamkan, garis-garis merah melintang di kiri dan kanan badan remaja itu, dilihat oleh ibunya, Noraidah Lamat ketika jenazah Zara Qairina dimandikan sebelum dikebumikan pada kali pertama.
Pada awal keterangannya, Dr. Voo juga menyatakan beliau tidak menemukan sebarang kesan lebam atau penderaan.
Pada 4 September lalu, hari kedua inkues berkenaan, pakar patologi, Dr. Jessie Hiu tidak membuat sebarang dapatan sama ada Zara Qairina membunuh diri atau tidak.
Sebaliknya, ujar pakar tersebut, beliau menyerahkan kepada Mahkamah Koroner untuk memutuskan hal tersebut.
Naratif Zara Qairina berkemungkinan membunuh diri ditimbulkan oleh Ram berdasarkan laporkan pakar patologi berkenaan yang menyatakan remaja terbabit berkemungkinan terjun sendiri atau menghayunkan badannya sebelum melompat dari tingkat tiga asrama sekolahnya.
Prosiding yang didengar Koroner Amir Shah Amir Hassan itu bersambung pukul 2 petang ini. – KOSMO! ONLINE