Inilah tanggungjawab saya pikul di Sungai Buloh – Ramanan

1 day ago 10

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan terus memperkukuhkan komitmennya dalam agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Parlimennya menerusi pelbagai program menyentuh kehidupan warga Sungai Buloh.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pelbagai bentuk bantuan termasuk program bakul makanan asas, khidmat kesihatan percuma, baik pulih rumah, bantuan bencana, rumah ibadat, masjid dan surau serta sokongan pendidikan telah digerakkan melalui pelbagai pelbagai rancangan dan pendekatan.

“Bagi saya, tugas seorang wakil rakyat bukan sekadar di Dewan Rakyat, tetapi juga berada di tengah-tengah masyarakat, mendengar denyut nadi mereka dan bertindak secara langsung. Inilah tanggungjawab yang saya pikul di Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, beliau telah menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Hospital UiTM Sungai Buloh, hasil kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Beliau berkata, sumbangan di bawah inisiatif ‘Ikhlas Sungai Buloh’ dengan sokongan dan kerjasama melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKM itu telah disampaikan kepada Pakar Perubatan Kecemasan Hospital UiTM Sungai Buloh, Dr. Izzat Ismail dan disambut baik oleh warga kerja hospital tersebut.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan perubatan atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjaga kebajikan dan kesihatan masyarakat setempat.

“Program CSR seperti ini perlu diteruskan secara berterusan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Ia bukan sahaja meringankan beban pesakit, malah menjadi simbol solidariti kita terhadap usaha murni barisan hadapan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar, Koordinator Program, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Nizam, Timbalan Ketua Cabang PKR Sungai Buloh, Ikrami Mazli serta pasukan sukarelawan Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh.

Ramanan turut mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan peribadi kepada petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan dan memberi kata-kata sokongan moral atas usaha berterusan mereka dalam menjaga kesihatan rakyat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |