‘Ini bukan sekadar perang ke atas Iran, tapi serangan terhadap seluruh umat’

3 hours ago 4

PETALING JAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama tiga badan bukan kerajaan lain iaitu Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Masjid Sedunia Membela Masjid Al Aqsar (Manar) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam keras tindakan ketenteraan ke atas Republik Islam Iran oleh Amerika Syarikat dan rejim Zionis Israel.

Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, serangan itu bukan sahaja melanggar kedaulatan Iran malah memperlihatkan sikap hipokrit kuasa besar dunia yang sering menjadikan isu senjata nuklear sebagai alasan untuk menyerang negara lain.

“Iran adalah negara yang masih memeterai Perjanjian Non-Penyebaran Senjata Nuklear (NPT), malah Pimpinan Tertingginya turut mengeluarkan fatwa melarang penghasilan senjata pemusnah besar-besaran.

“Namun, mereka tetap menjadi sasaran serangan ketenteraan sebanyak dua kali oleh kuasa nuklear tanpa sebarang mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih mengejutkan, bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara terbuka memuji serangan tersebut dan menganggapnya sebagai satu kejayaan besar apabila mendakwa tapak nuklear Iran telah ‘dimusnahkan sepenuhnya’.

Pertubuhan itu turut menyifatkan tindakan Trump dan Israel sebagai mesej berbahaya kepada dunia, bahawa negara yang tidak memiliki senjata nuklear kini tidak lagi selamat, sekaligus menggugat usaha diplomatik selama berdekad-dekad dalam menangani penyebaran senjata nuklear.

“Ini bukan sekadar perang ke atas Iran. Ini adalah serangan terhadap seluruh umat dan terhadap kemanusiaan,” katanya.

Tambah Mohd. Azmi, tindakan Amerika Syarikat dan Israel telah menghancurkan kredibiliti perjanjian NPT, membuka pintu kepada perlumbaan senjata nuklear baharu, serta menormalisasi tindakan ketenteraan unilateral.

“Trump telah menjadi simbol ancaman kepada umat Islam, keadilan sejagat dan keamanan dunia. Beliau harus diiktiraf sebagai penjenayah paling berbahaya di dunia,” ujarnya.

Sehubungan itu, MAPIM dan rakan NGO lain menuntut lima tindakan segera iaitu, kecaman tegas terhadap pencerobohan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, sidang tergempar PBB bagi membincangkan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan NPT, tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Trump dan pemimpin Israel atas jenayah perang.

Selain itu, katanya perlindungan terhadap kedaulatan Iran serta negara bukan nuklear daripada ancaman ketenteraan dan mahukan pengukuhan komitmen global terhadap pelucutan senjata nuklear dan diplomasi aman.

“Diamnya masyarakat antarabangsa adalah satu bentuk pengkhianatan. Masa untuk bertindak adalah sekarang sebelum dunia terjerumus ke kancah kehancuran yang tidak boleh dipulihkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |