KUALA LUMPUR – Taktik seorang pemuda mereka cerita kononnya diculik along terbongkar selepas pihak polis mendapati gambar bukti yang dikirimkan hanyalah swafoto (selfie) yang diambil sendiri di dalam but sebuah kereta.
Perbuatan tidak bertanggungjawab pemuda berusia 25 tahun itu terdedah selepas pihak berkuasa berjaya mengesannya sedang tidur di sebuah hotel bajet di Kuang, Selangor.
Bapanya, Chong, 58, berkata, pada 25 Julai yang lalu, dia dan isteri panik selepas menerima panggilan daripada anaknya yang mendakwa dirinya diculik serta diacu pisau pada leher oleh along yang menuntut wang tebusan sebabyak RM30,000.
“Laporan polis segera dibuat di Selayang, sebelum pihak polis mengesan bahawa gambar bukti anak saya berada di dalam but kereta itu sebenarnya diambil secara swafoto. Dia mengaku tindakan rekaan itu dibuat atas arahan along bagi mendesaknya menjelaskan hutang sebanyak RM40,000,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Menurutnya lagi, pada bulan Mei yang lalu, Chong pernah membantu anak sulungnya itu melunaskan hutang berjumlah RM45,000 kepada 40 orang along.
“Masa itu dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi, tetapi rupa-rupanya dia membuat pinjaman baru membabitkan 23 along pula dengan anggaran lebih kurang RM40,000. Saya sangat kecewa dan sedih dengan perbuatannya dan kali ini saya akan biar pihak berkuasa yang menghukumnya,” ujarnya.
Susulan pendedahan itu, pemuda berkenaan telah ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah pagi tadi mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihak yang tidak bersalah seperti ibu bapa sering menjadi mangsa apabila peminjam tidak dapat membayar semula hutang sehingga sanggup menipu dan memeras ugut ahli keluarga sendiri.
Beliau turut memberi amaran keras kepada sindiket along berkenaan kerana pihak polis kini sudah memegang senarai maklumat serta nombor telefon kesemua 23 along yang terlibat untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
3

![[VIDEO] ‘Mereka ada duit, kita ada Allah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/PENGAWAL-PERIBADI-DIPUKUL-MAJIKAN-e1785320792848.jpeg)










![[VIDEO] Dah tampal notis tutup KKM, rider masih ‘pickup’ makanan?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-29-at-10.27.44-AM.jpeg)



































