Impian Palace akhiri penantian 109 tahun

6 hours ago 2

LONDON – Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner tidak akan melakukan perubahan besar untuk menghadapi Manchester City pada aksi final Piala FA di Stadium Wembley, malam ini.

Glasner berpendapat perubahan ketara hanya akan menjerat Palace kerana ia mungkin menyukarkan pemain untuk menerapkan perancangan baharu sekali gus membuka ruang buat City mengambil kesempatan.

“Kami tidak boleh melakukan sesuatu yang berbeza dan ia langsung tidak masuk akal. Segalanya berkisar tentang apa yang kami boleh lakukan di mana kami sedang berada pada prestasi terbaik.

“Kami akan hadapi perlawanan akhir dengan cara yang sama. Dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku. Adalah sesuatu yang buruk jika kami melakukan banyak perubahan.

“Kami tidak mampu untuk mengajar pemain melakukan perkara berbeza hanya dalam tempoh empat hari. Semua itu akan memeningkan kami, jadi kami hanya perlu melakukan tugas kami seperti biasa,” katanya.

Pendekatan Glasner seakan berasas kerana Palace belum tewas dalam empat aksi terakhir apabila seri 2-2 dengan Arsenal, menang 3-0 ke atas Aston Villa, mengikat Nottingham Forest 1-1 dan menewaskan Tottenham Hotspur 2-0.

Glasner nyata gembira dengan apa yang dipamerkan anak-anak buahnya dan beranggapan sudah banyak perkara positif yang mampu membantu pasukan untuk mengharungi perlawanan akhir.

“Persiapan terbaik adalah dengan meraih keputusan yang bagus. Kami mampu mencipta banyak peluang, menjaringkan gol dan kekal konsisten setiap kali melakukan tugasan bertahan.

“Bukan hanya berkisar keputusan, tetapi semua ini akan membantu kami untuk hadapi final. Kredit perlu diberikan kepada pemain kerana mereka kekal berada pada rentak terbaik dan bagi saya itu adalah perkara terpenting,” katanya.

Jika menang, ini bakal menjadi trofi berprestij pertama buat Palace dalam tempoh 109 tahun sejak penubuhan kelab itu pada 1905, sekali gus menyambar tiket ke pentas Liga Europa musim depan. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |