Ilham angka 2027 bawa tuah

8 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Bermula dengan sekadar satu idea yang diilhamkan daripada angka “2027”, seorang graduan animasi kini boleh berbangga apabila hasil kreativitinya dipilih sebagai logo rasmi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

Kejayaan itu diraih Aiman Amri, 23, yang berjaya menewaskan peserta lain menerusi penyertaan sulungnya dalam pertandingan mereka bentuk identiti rasmi temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara tersebut.

Graduan Diploma Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, inspirasi rekaan berkenaan hadir apabila dia melihat nombor “2027” mampu diolah menjadi imej Burung Kenyalang yang turut disepadukan dengan siluet seorang atlet.

“Saya berinspirasi daripada angka ‘2027’ itu sendiri kerana saya nampak nombor itu boleh dibentuk menjadi Burung Kenyalang, selain memberi gambaran seorang ahli sukan yang sedang bergerak,” katanya.

Menurut Aiman yang kini mengikuti pengajian Ijazah Reka Bentuk Grafik secara sambilan, dia mengambil masa hampir dua bulan memperincikan setiap lakaran sebelum menghasilkan rekaan akhir yang dipilih sebagai identiti rasmi temasya tersebut.

Lebih menarik, Aiman hanya menghantar satu cadangan logo dan satu rekaan maskot sepanjang pertandingan, namun kedua-duanya berjaya menambat hati panel penilai sehingga muncul sebagai pemenang keseluruhan.

Di sebalik kejayaan itu, Aiman mengakui pengorbanan ibu bapanya menjadi pemangkin semangat apabila bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala ibunya membantu menambah pendapatan keluarga sebagai tukang jahit sambilan bagi menyara empat beradik.

Mengulas perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), Aiman berpendapat teknologi itu seharusnya dijadikan sebagai alat sokongan kepada pereka kreatif, bukannya menggantikan idea dan kreativiti manusia.

“Ramai anak muda Malaysia mempunyai kemahiran dalam reka bentuk grafik, animasi dan VFX, jadi AI sepatutnya hanya membantu mengembangkan idea, bukannya mengambil alih kreativiti kita,” katanya.

Sebagai pemenang, Aiman membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 dan berhasrat menggunakan sebahagiannya untuk pelaburan, manakala selebihnya akan dibelanjakan membawa keluarganya menikmati makan malam sebagai tanda penghargaan atas segala pengorbanan mereka.KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |