ikhlas.com terima Anugerah Keyakinan Pengguna Terbilang

21 hours ago 4

PETALING JAYA – Cabang perniagaan mesra Muslim Capital A Berhad, Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menerima Distinguished Consumer Confidence Award (Anugerah Keyakinan Pengguna Terbilang) pada majlis Islamic Distinguished Enterprise (IDEA) Award 2025.

Pengiktirafan berprestij itu dianugerahkan oleh Muslim Insiders Chamber of Commerce atas kecemerlangan ikhlas.com menawarkan perkhidmatan gaya hidup Islam dan kembara mesra Muslim yang direka khas untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggung jawab dengan selamat dan mudah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah tersebut dan diiktiraf dalam kalangan komuniti perusahaan Islam. 

Menurut beliau, sejak penubuhan ikhlas.com pada tahun 2020, syarikat sentiasa mengutamakan para pelanggan dalam merangka produk dan perkhidmatan syarikat kerana tawaran kami kebanyakannya tersedia menerusi platform online.”

“Kami dipacu misi untuk menggabungkan teknologi dan aktiviti kemasyarakatan yang bermakna dalam usaha memperkasakan umat Islam dengan menawarkan akses yang lebih mudah kepada gaya hidup dan nilai Islam yang memperkayakan kehidupan seharian mereka,” katanya di sini  baru-baru ini.

IDEA  Award 2025 anjuran Muslim Insiders Chamber of Commerce, merupakan anugerah berprestij yang bertujuan meraikan pencapaian perniagaan yang berwawasan dalam komuniti perusahaan Islam. 

Anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan organisasi yang meneraju dengan inovasi, integriti dan nilai-nilai Islam yang utuh, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam amalan perniagaan beretika.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan kedua yang diterima oleh ikhlas.com tahun ini, selepas menerima Anugerah Prestasi Kutipan Zakat Tertinggi 2024 daripada Lembaga Zakat Selangor pada Mei, susulan kutipan zakat berjumlah RM8.4 juta yang direkodkan tahun lalu.

Dilancarkan semasa pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Islam Capital A yang direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. 

Selain ikhlas.com Umrah dan Travel (kembara mesra Muslim) dengan kerjasama anak syarikat penerbangan, AirAsia X, ikhlas.com juga memudahkan umat Islam menunaikan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan banyak lagi. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |