Ibu tunggal ditipu lelaki mulut manis panggil ‘dear’

7 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Gara-gara terpedaya dengan kata-kata manis lelaki, seorang janda yang juga pengusaha kosmetik terpaksa menanggung kerugian lebih RM240,000 selepas menjadi mangsa sindiket love scam.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Cik Chan, 51, berkata, dia mula mengenali lelaki berusia 40 tahun itu ketika bersama-sama menyertai aktiviti perkhemahan bersama komuniti sekitar awal tahun 2020.

Katanya, lelaki terbabit memberikan layanan yang sangat istimewa dan sering mengungkap kata-kata manis serta manja yang membuatkan dirinya rasa dihargai.

“Dia panggil saya ‘baby’ dan ‘dear’. Saya sudah menjadi ibu tunggal selama 18 tahun dan tidak pernah mendapat perhatian sedemikian rupa.

“Oleh sebab itu saya mudah termakan pujuk rayunya,” katanya pada sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.

Menurutnya, suspek telah memperkenalkannya dengan satu pelaburan berkaitan projek perkhemahan dan mendakwa ia disokong agensi kerajaan.

Katanya, lelaki itu mahu menjadikannya sebagai rakan niaga serta menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu melakukan apa-apa.

“Saya melabur RM240,600 yang telah diserahkan secara dalam talian dan fizikal secara berperingkat, Namun sampai kini tiada sebarang pulangan yang saya terima,” ujarnya.

Katanya, semua penipuan itu terbongkar apabila dia menyedari tiada syarikat didaftarkan atas nama suspek, malah tiada bukti pembelian peralatan untuk projek perkhemahan.

“Kali terakhir saya bertemu suspek pada Mei lalu ketika menyerahkan wang tunai buat kali terakhir. Saya telah membuat laporan polis sebanyak tiga kali iaitu pada 26 September 2024, 29 Disember 2024 dan terakhir pada 30 April lalu,” katanya.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hisyam pula menggesa pihak berkuasa agar segera menjalankan siasatan terhadap suspek terbabit kerana melibatkan unsur penipuan, pemalsuan fakta dan manipulasi emosi mangsa.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |