SUNGAI PETANI – “Ibu sangat gembira bila dapat penuhi keinginan adik nak makan durian, tetapi adik pergi terlebih dahulu dalam kemalangan.”
Menurut Nardini Dalili Derani, 22, adiknya, Muhammad Arif Aifan, 19, pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 49.4 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tandop, Alor Setar pada semalam sangat gemar makan durian.
Katanya, sehari sebelum kejadian, adik bongsu daripada enam beradik itu ada menghubungi ibu, Rogayah Desa, 55, dan memintanya menyimpan durian.
“Emak kemudian meminta ayah, Derani Ibrahim, 65, mencari durian dari pokok di belakang rumah dan menemui tiga biji. Ibu melarang kami memakannya kerana mahu menyimpannya untuk adik.
“Adik memang ‘hantu’ durian, tambahan lagi tiga biji durian yang disimpan itu merupakan buah yang baru luruh musim ini, emak gembira kerana berjaya memenuhi permintaan adik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Setol, Batu Belacan di Bukit Selambau, dekat sini hari ini.
Katanya, selepas kemalangan yang meragut nyawa adiknya serta dua lagi rakan itu, ibu tidak sanggup lagi melihat durian tersebut dan meminta buah itu diberikan kepada orang lain.
Ujarnya, dia difahamkan kejadian berlaku ketika adiknya bersama dua mangsa maut dalam perjalanan ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Gurun untuk menghantar seorang lagi rakan, Muhammad Adib Aiman Mohd Hasani untuk menaiki tren ke Subang Jaya, Selangor.
“Saya dimaklumkan tentang kejadian pada pukul 2 petang semalam semasa sedang bersiap untuk ke tempat kerja di sebuah kilang di Kuala Ketil.
“Kami sekeluarga kemudiannya bertolak ke lokasi dan terkejut serta sedih apabila melihat mayat adik dan dua lagi rakannya terbaring di jalan raya sebelum ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, dia sekeluarga sedih kerana sambutan Aidiladha tahun ini sayu dengan pemergian seorang adik yang baik, mendengar kata dan cukup disayangi ahli keluarga.
Jenazah Muhammad Arif Aifan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ubudiah di kampung tersebut pada pukul 11 malam tadi.
Dalam kemalangan itu, dua lagi rakan mangsa yang maut ialah Muhammad Habil Mohd Sobri dari Gurun dan Muhammad Fahmi Jamel dari Jeniang, dekat sini.
Sementara, Muhammad Adib Aiman mengalami kecederaan parah.
Kejadian dikatakan berlaku apabila dua buah motosikal yang dinaiki kesemua pelatih berusia 19 tahun itu secara berkonvoi merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria yang diletakkan di bahu jalan. – KOSMO! ONLINE