Ibu kandung, bapa tiri budak 9 tahun disyaki mati didera direman

5 hours ago 3

MELAKA – Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) fizikal berusia sembilan tahun yang mati dipercayai akibat didera di kediaman di Kota Laksamana dekat sini semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga 30 Jun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek yang masing-masing berusia 36 dan 38 tahun bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pasangan itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis dan memakai pakaian lokap bewarna jingga.

Permohonan reman selesai dilakukan kira-kira sejam kemudian.

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa tirinya di rumah mereka di Kota Laksamana.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian terbongkar selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada sebuah hospital swasta kira-kira pukul 10.15 pagi.

Ujarnya, pegawai perubatan memaklumkan seorang pesakit kanak-kanak perempuan telah dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan disyaki didera sebelum disahkan meninggal dunia.

“Kita menerima maklumat seorang pesakit iaitu seorang kanak-kanak perempuan telah dihantar ke hospital oleh bapa tirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Hasil pemeriksaan pesakit mengalami patah kaki dan terdapat kesan lebam bahagian kepala serta badan syaki didera. Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 pagi,” ujarnya kepada pemberita.

Menurut sumber, kedua-dua ibu kandung dan bapa tiri mangsa kemudian telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |