MINA – Jemaah haji diingatkan agar menghayati ibadah melontar di tiga jamrah yang bukan sekadar memenuhi syarat wajib haji, sebaliknya simbolik penolakan sifat-sifat sombong dan tercela dalam diri.
Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, ibadah melontar di Jamrah Ula, Wusta dan Kubra membawa maksud yang lebih mendalam sebagai simbol pembaharuan diri serta penolakan sifat-sifat mazmumah dalam kehidupan seorang Muslim.
Menurutnya, aktiviti melontar yang dilaksanakan dari 10 hingga 13 Zulhijjah tersebut meneladani sunah Nabi Muhammad SAW serta menghidupkan kembali jejak pengorbanan Nabi Ibrahim AS.
“Ia simbolik bagi membuang sifat-sifat mazmumah seperti sombong, ingkar dan segala sifat tercela dalam diri serta menjadi satu ikrar rohani agar jemaah berubah menjadi insan yang lebih baik selepas menunaikan haji.
“Melontar bukan semata-mata lemparan batu, tetapi satu pengisytiharan hati bahawa kita sanggup berubah, meninggalkan kejahatan, dan kembali kepada fitrah,” katanya di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, ibadah itu bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, malah merupakan amalan rohani yang selari dengan matlamat haji untuk membawa pulang jiwa yang bersih dan hati yang tunduk kepada Allah SWT.
Dalam mengisi tempoh panjang jemaah haji ketika mabit di Mina, Shahrin berkata, TH mengadakan sesi tazkirah dan bimbingan ‘Bicara Mina’.
“Aktiviti ini bagi membimbing jemaah haji Malaysia memahami maksud di sebalik setiap rukun dan wajib haji termasuk dalam ibadah melontar. TH turut mengadakan sesi bimbingan dan tazkirah kepada jemaah haji selepas solat subuh dan zuhur sepanjang berada di Mina.
“Ini bagi mengingatkan mereka tentang panduan ibadah termasuk lontaran jamrah, tahalul awal serta perbezaan antara nafar awal dan nafar thani,” katanya.
Selain itu, ujarnya, jemaah turut digalakkan untuk memanfaatkan masa yang panjang di Mina dengan memperbanyakkan ibadah kendiri seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan aktiviti kerohanian yang bermanfaat.
Selepas selesai berwukuf di Arafah semalam, jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Muzdalifah sejurus selepas waktu Maghrib, sekitar jam 7.01 malam dan bermabit di Muzdalifah bermula 11.36 malam sebelum meneruskan perjalanan ke Mina. – KOSMO! ONLINE