MEKAH – Jemaah haji Malaysia diminta mengelakkan menjadikan ChatGPT sebagai sumber rujukan sekiranya berdepan dengan kekeliruan berhubung hukum ibadat sebaliknya memanfaatkan fungsi ‘live chat’ dalam aplikasi THHujjaj.
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas), Salmah Sheikh Hassan berkata, perkhidmatan e-Taib yang diperkenalkan Tabung Haji (TH) perlu dijadikan sumber rujukan utama dalam kalangan jemaah haji Malaysia.
“Jemaah haji diminta tidak menggunakan aplikasi ChatGPT ataupun carian Google memandangkan ini melibatkan hukum-hakam dan untuk kita pastikan jemaah haji kita diterima dan mendapat haji yang mabrur,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini kelmarin.
Dalam pada itu, katanya, melalui fungsi live chat dalam aplikasi THHujjaj jemaah haji boleh mendapatkan kepastian segera berkaitan pelaksanaan rukun dan wajib ibadah umrah serta haji terutamanya semasa menunaikan tawaf dan saie.
“Pernah berlaku situasi di mana jemaah ketika tawaf berhenti seketika di tepi dan menghubungi kami (menerusi e-Taib) kerana was-was sama ada mereka telah melengkapkan tujuh pusingan tawaf atau hanya enam.
“Dalam situasi sebegitu, kami menasihatkan jemaah untuk mengambil kira enam pusingan dan menambah satu lagi pusingan bagi mencukupkan tujuh, sekali gus menghilangkan rasa ragu tersebut,” katanya.
Jelasnya, ketika ini, e-Taib menerima purata lebih 1,000 soalan seminggu.
“Ia dijangka boleh mencecah 4,000 pertanyaan jemaah menjelang kemuncak ibadah haji, yang mencerminkan keperluan tinggi terhadap bimbingan secara online dan respons pantas daripada pembimbing bertauliah.
“Maklum balas terhadap pertanyaan jemaah menerusi e-Taib kebiasaannya dalam tempoh kira-kira lima minit, bergantung kepada kestabilan sambungan internet semasa,” katanya.
Ujar Salmah, dengan capaian internet baik, petugas Pihtas mampu memberikan maklum balas seawal satu hingga dua minit.
“Secara purata, pertanyaan jemaah dijawab dalam tempoh kurang daripada 20 minit. Perkhidmatan e-Taib kini dikendalikan oleh empat petugas PIHTAS yang bertugas secara bergilir selama 18 jam sehari.
‘Menjelang minggu masyair, waktu operasi akan dipanjangkan kepada 24 jam sehari untuk menampung peningkatan jumlah pertanyaan daripada jemaah,” katanya.
Tambahnya, sebahagian besar soalan diterima daripada jemaah wanita, khususnya berkaitan isu haid semasa ihram, larangan ihram, bayaran dam, niat di miqat serta pelaksanaan tawaf.
Pasukan tersebut dibantu tiga pakar rujuk yang merupakan ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim) selain daripadanya merupakan Timbalan Mufti Perlis, Tajul Urus Abdul Halim. – KOSMO! ONLINE