Hengyuan di landasan kukuh capai sasaran dana RM300 juta

6 hours ago 6

PETALING JAYA – Hengyuan Refining Company Berhad (Hengyuan) berada pada landasan kukuh untuk mengumpul sehingga RM300 juta melalui cadangan terbitan hak sehingga 300 juta saham biasa baharu berserta sehingga 150 juta waran percuma boleh dipisahkan.

Ia berdasarkan satu saham hak bagi setiap satu saham Hengyuan sedia ada yang dipegang, serta satu waran bagi setiap dua saham hak yang dilanggan, pada harga terbitan dan tarikh kelayakan yang akan ditentukan serta diumumkan kelak.

Malaysia Hengyuan International Limited, pemegang saham utama Hengyuan yang memiliki 51.02 peratus saham terbitan, telah memberi komitmen untuk melanggan keseluruhan saham hak yang diperuntukkan kepadanya, memastikan kutipan dana minimum berjumlah RM155 juta di bawah pelaksanaan tersebut.

Sebahagian besar hasil daripada terbitan hak tersebut akan digunakan untuk pembelian tambahan minyak mentah sebagai bahan mentah utama dalam proses penapisan dan pengeluaran produk petroleum.

Penyelenggaraan paras bahan mentah yang mencukupi dijangka meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan kos seunit bagi setiap tong serta memperkukuh daya saing keseluruhan.

Bagi tahun kewangan 2024, Hengyuan mencatatkan hasil RM17.2 bilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh permintaan tinggi terhadap produk ditapis. Syarikat kekal sebagai pembekal utama produk Shell di Semenanjung, sambil memperluas portfolio pelanggan kepada Petronas, Petron dan Five.

Ketika ini, kira-kira 90 peratus produk ditapis Hengyuan dijual dalam pasaran domestik, manakala selebihnya dieksport ke Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan berkata, dalam tempoh lima tahun lalu, pihaknya telah melabur lebih RM2.2 bilion dalam perbelanjaan modal untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran serta mengembangkan produk bernilai tinggi seperti bahan api penerbangan mampan dan gasoil Euro 5.

Jelasnya, usaha itu telah menyokong pertumbuhan hasil dan meningkatkan permintaan pelanggan.

“Cadangan terbitan hak ini akan menyediakan modal kerja untuk mendapatkan tambahan bahan mentah serta menyokong kecekapan operasi, di samping memperkukuh asas ekuiti dan fleksibiliti kewangan kami.

“Dengan sokongan pemegang saham utama, serta kemajuan inisiatif strategik kami, Hengyuan menyasarkan untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2026. Tertakluk kepada pencapaian keuntungan, Lembaga Pengarah juga akan mempertimbangkan penyambungan semula pembayaran dividen pada masa hadapan seperti dinyatakan dalam laporan tahunan 2024 syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |