KUALA LUMPUR – Hasrat 18 sekeluarga untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan mencium Kaabah bersama buat kali pertama musnah apabila mereka ditipu sebuah syarikat umrah sehingga mengalami kerugian hampir RM90,000.
Keluarga berasal dari Johor Bahru itu dilaporkan telah mengumpul wang bertahun-tahun untuk menunaikan umrah secara berjemaah.
Wakil keluarga, Noor Azlan Buang, 62, berkata, mereka tertarik dengan pakej umrah itu menerusi iklan di media sosial dan segala tawarannya dilihat sangat menyakinkan sebelum membuat keputusan untuk mendaftar sebagai jemaah umrah.
“Kami dijanjikan akan bertolak ke Tanah Suci pada 25 Fabruari lalu. Tapi seminggu sebelum tarikh penerbangan pihak syarikat beri pelbagai alasan termasuk gagal menyerahkan beberapa barangan seperti beg roda untuk kegunaan para jemaah.
“Tiba-tiba tengok berita syarikat terbabit disyaki tipu jemaah umrah, semua adik beradik hubungi saya dan luah rasa cemas mereka. Berkaitan hal pembayaran, urusan dengan syarikat semuanya diuruskan oleh adik bongsu saya,” katanya kepada Kosmo! selepas sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Menurut anak keempat dari 12 beradik itu, sehingga kini mereka sekeluarga cuba menghubungi pihak syarikat namun hilang tanpa khabar.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat dan turut membuat aduan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Kami adik-beradik bekerja keras untuk realisasikan impian ini, tapi semuanya musnah begitu saja.
“Segala persiapan telah dibuat, dah beli pakaian ihram, barang-barang yang diperlukan sepanjang umrah, memang kami semua hanya menanti hari penerbangan sahaja. Sangat teruja untuk jejak kaki di sana. Sedih memang sedih, tapi Allah punya kuasa,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, 18 sekeluarga tersebut antara 90 jemaah yang ditipu oleh syarikat umrah terbabit dan keseluruhan kerugian melebihi RM500,000.
“Mangsa-mangsa mengesyaki bahawa wang yang telah mereka serahkan kepada pihak syarikat tersebut berkemungkinan besar telah disalahgunakan oleh individu atau dalang di sebalik syarikat itu bagi tujuan selain daripada sepertimana yang telah dijanjikan.
“Selepas diminta membuat pembayaran penuh, mangsa kemudian diberikan jadual penerbangan dan sebagainya, malangnya apabila hampir tiba waktu dan hari, perancangan umrah mereka telah dibatalkan syarikat, syarikat telah menggunakan pelbagai alasan kepada pelanggan.
“Syarikat juga menaburkan pelbagai janji untuk pemulangan semula pembayaran dibuat pelanggan dan juga mengatur semula pakej yang ditempah pelanggan. Bagaimanapun, tiada apa-apa tindakan, atau pemulangan wang kepada mangsa sehingga ke hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE