SUNGAI SIPUT – Kebimbangan penduduk Kampung Perlop 1 berhubung kemunculan harimau belang yang dilaporkan berkeliaran dan menyerang ternakan sejak enam bulan lalu reda apabila haiwan pemangsa itu berjaya ditangkap hari ini.
Harimau belang jantan seberat 90 kilogram (kg) itu ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sekitar pukul 4 pagi.
Bekas Ketua Kampung Perlop 1, Khairol Ariffin Abdullah Jalil berkata, kemunculan harimau belang itu menimbulkan keresahan kepada penduduk tambahan lagi bagi mereka yang pernah terserempak kelibat haiwan itu.
Malah katanya, ada dalam kalangan penduduk juga takut untuk keluar ke ladang kelapa sawit selepas menemui kesan tapak kaki dan terdengar bunyi ngauman.
“Kita terima aduan berhubung gangguan haiwan liar ini sejak enam bulan lalu di mana ada laporan mendakwa ia hampir masuk ke kawasan penduduk.
“Malah, Lokasi harimau belang ini ditangkap pun tidak jauh, kira-kira 700 meter saja dari penempatan. Jadi, keadaan ini berbahaya dan menakutkan mereka untuk keluar ke ladang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, sejak aduan diterima, terdapat tiga perangkap telah dipasang dan satu perangkap telah dimasuki oleh harimau kumbang pada 26 April lalu.
“Kehadiran harimau belang ini dikesan melalui tapak kaki, jadi penduduk tahu ada haiwan liar yang berkeliaran di kawasan ini. Jadi, dengan tertangkapnya harimau belang ini, lega sedikit kebimbangan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, perangkap tersebut dipasang pada Disember tahun lalu setelah menerima aduan penduduk berkaitan haiwan ternakan mati dibaham binatang buas dipercayai harimau.
Katanya, sepanjang tempoh itu, dianggarkan sebanyak sembilan ekor lembu ditemukan mati oleh penduduk.
“Dianggarkan harimau belang yang ditangkap ini berusia setahun 10 bulan dan pemeriksaan mendapati haiwan itu dalam keadaan sihat.
“Harimau belang ini akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk dijadikan induk pembiakan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE