Hanya sempat kahwin satu jam, suami terus hilang

1 day ago 10

MELBOURNE – Seorang wanita di Melbourne, Australia mendedahkan bahawa perkahwinannya hanya bertahan selama satu jam sebelum suaminya menghilangkan diri semasa majlis perkahwinan mereka, lapor portal berita Mirror UK semalam.

Wanita bernama Kylie menghubungi rancangan bual bicara radio, Nova’s Late Drive dan berkongsikan kisahnya bersama pendengar.

Menurut Kylie, suaminya ‘lesap’ secara tiba-tiba pada majlis perkahwinan mereka dan menghilangkan diri selama berbulan-bulan tanpa meninggalkan pesan.

“Perkahwinan saya sangat singkat. Ia tidak sampai 24 jam pun. Kami berkahwin dan mengadakan majlis perkahwinan yang indah sebelum dia hilang semasa resepsi,” katanya.

Kylie menjelaskan bahawa dia dan pasangannya telah bercinta selama enam tahun dan dari luaran, mereka kelihatan seperti pasangan bahagia.

“Kami merakam gambar perkahwinan yang cantik, dia ialah cinta dalam hidup saya. 

“Namun kemudian, dia hilang begitu sahaja. Saya tidak mendengar khabar daripadanya selama berbulan-bulan,” jelas Kylie.

Tambahnya, walaupun pengantin lelaki hilang, majlis resepsi tetap diteruskan ketika tetamu tidak menyedari apa yang berlaku.

“Semua orang kekal berada dalam majlis dan berpesta sepanjang malam tetapi saya kembali ke bilik berseorangan.

“Dia tidak mahu bersama saya, dia mempunyai orang ketiga tetapi tetap membiarkan kami berkahwin,” kata Kylie.

Ujarnya, ketika dia menghadapi situasi sukar untuk menjelaskan kepada keluarga tentang apa yang berlaku, Kylie terkejut apabila mendapat tahu bahawa suaminya sebenarnya curang dengan sepupunya sendiri.

“Dia masih bersama sepupu saya sehingga sekarang. Saya enggan menemui mereka kerana ia akan menjadi sangat janggal,” katanya. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |