Hakim Danish terlepas podium JuniorGP

1 day ago 14

PETALING JAYA – Pelumba muda sensasi negara, Hakim Danish Ramli akur gagal meneruskan kecemerlangan sewaktu aksi pembuka tirai Kejohanan Dunia FIM JuniorGP bulan lalu apabila terlepas podium dalam dua perlumbaan Pusingan 2 di Jerez, Sepanyol semalam.

Hakim Danish yang sebelum ini muncul naib juara di Estoril, Portugal, kini sekadar meraih tempat kesembilan dalam Perlumbaan 1 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kelima pada saingan di Litar Jerez itu.

Pelumba muda berusia 17 tahun itu mengakui kurang berpuas hati dengan keseluruhan prestasinya selepas berdepan cabaran sengit dalam kelompok pertengahan menyebabkan ruang untuk dia mencatat masa terpantas agak terbatas.

“Secara keseluruhan, saya gembira dengan kemajuan saya minggu ini, tetapi kurang berpuas hati dengan keputusan perlumbaan kerana jurang dengan pelumba di hadapan masih jauh.

“Saya perlu perbaiki dari segi setup (tetapan) jentera dan juga diri saya sendiri. Saya akan terus berusaha untuk perlumbaan JuniorGP seterusnya di Perancis. Doakan kejayaan saya,” katanya.

Bermula dari petak ke-13 jelas tidak melunturkan semangat juang Hakim Danish untuk tampil dengan cukup meyakinkan dalam memburu kedudukan terbaik.

Aksi kejar-mengejar di dua pusingan terakhir menjadi penentu apabila dia mempamerkan tunggangan berani dan tangkas, memintas satu demi satu pencabar, namun terpaksa akur menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.

Hasil keputusan dua perlumbaan itu menyaksikan Hakim Danish kini berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan perbezaan 37 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Brian Uriarte dari Sepanyol.

Selepas ini, Hakim Danish akan mengalihkan fokus dalam saingan Red Bull Rookies Cup di Aragon, Sepanyol minggu depan sebelum menyambung cabaran Pusingan 3 JuniorGP di Litar Magny Cours, Perancis berlangsung 5 dan 6 Julai nanti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |