SEPANG – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tidak tergugat dengan provokasi melampau segelintir penyokong Indonesia di media sosial yang membandingkan prestasinya dengan pelumba negara itu, Veda Ega Pratama, sambil menegaskan hubungan mereka kekal baik dan tiada sebarang masalah.
Juara Grand Prix (GP) Republik Czech itu berkata, apa yang diperkatakan oleh penyokong di media sosial langsung tidak memberi kesan terhadap psikologinya kerana dia dan Veda mempunyai hubungan persahabatan yang baik di luar litar.
“Hubungan saya dengan Veda (Pratama), kami berkawan baik dan tak ada apa-apa isu pun. Kami pun pernah makan malam bersama di Jerman sebelum ini.
“Benda itu (Provoksi) itu tak mengganggu psikologi saya. Kami memang berkawan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
HAKIM Danish disambut oleh barisan kru pasukan ZK Racing.Hakim yang kini menghuni tangga ketujuh keseluruhan Kejuaraan Motosikal Dunia Moto3 berkata, dia memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada prestasi di litar berbanding isu tersebut.
Pelumba berusia 19 tahun itu juga mengakui gembira dengan sokongan penuh yang diberikan pasukannya, AEON Credit-MT Helmets-MSi yang sentiasa bekerja keras memastikan jenteranya berada pada tahap terbaik sepanjang musim ini.
Sebagai rekod, sebelum ini pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya meraih kemenangan sulung pada GP Republik Czech dan turut menyambar podium tempat ketiga pada GP Itali di Litar Mugello.
Selepas 11 pusingan, Hakim Danish yang berada di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 86 mata dan hanya dipisahkan empat mata dengan Veda (Honda Team Asia) yang berada di posisi keenam dengan 90 mata.
Hakim dijadualkan kembali beraksi pada GP Britain di Litar Silverstone pada Ogos nanti dan pelumba negara itu berazam menyesuaikan diri secepat mungkin di litar berkenaan untuk memburu kedudukan terbaik. -KOSMO! ONLINE

7 hours ago
6















































