ADAT menjadi artis berkumpulan, perlu mengambil risiko dan bersedia dengan segala kemungkinan termasuk pengunduran ahli atau berakhir dengan perpecahan.
Begitu juga dengan kumpulan Dolla yang pada asalnya dianggotai empat jelitawan muda, kini hanya tinggal bertiga.
Ketiadaan Syasya sejak membuat keputusan meninggalkan Dolla dan memilih untuk berkahwin tahun lalu tidak mematikan semangat Sabronzo, Tabby dan Angel meneruskan langkah dalam gelanggang seni.

Biarpun kelihatan canggung pada mulanya, lama-kelamaan peminat sudah boleh menerima bahawa Dolla hanya diwakili tiga wanita. Cukup.
Enggan lagi menoleh ke belakang atau mengeluh soal ketiadaan Syasya, Dolla kembali dengan single baharu berjudul MWA! yang baru dilancarkan beberapa minggu lalu.
“MWA! adalah single pertama kami sejak tinggal bertiga. Sudah setahun kami tak keluar lagu baharu. Peminat pun dah ramai yang rindu.
“Bila tinggal bertiga kami perlu fikirkan sesuatu yang baharu. Jadi kami tampil dengan konsep berbeza daripada sebelum ini dan harap karya dapat dihargai peminat,” kata Sabronzo membuka bicara.
Sewaktu mendengar dan menonton video muzik MWA!, boleh dikatakan ‘vibe’ yang dibawakan Dolla kali ini agak berbeza. Mereka kelihatan lebih ranggi, berani, garang dan ganas. Persepsi tersebut diakui Dolla sendiri, bagi mereka itu adalah transisi dalam muzik demi masa depan karier.
“Memang tidak dinafikan konsep yang kami bawakan kali ini menunjukkan sisi kami yang lebih kuat. Jadi kami mahukan lagi yang benar-benar kuat sebagai single pertama kami selepas hanya tinggal bertiga. Kami pun dah lama tak ada lagu yang betul-betul rancak.

“Biarpun lagu ini hanya berdurasi dua minit setengah tetapi lebih kerap anda dengar anda akan lebih enjoy. “Bunyi lagu ini memang agak lain. Jarang kita ada bunyi seperti ini di Malaysia. Inspirasi lagu ini adalah daripada genre Brazilian Punk.
“MWA! adalah ‘starter’ untuk era baharu Dolla. Selepas ini akan ada banyak lagi lagu daripada kami. Kami juga dalam perancangan untuk mengadakan konsert,” kata Dolla.
Untuk mencari arah tuju baharu dalam aliran muzik yang dibawakan merupakan satu cabaran buat Dolla. Lebih lima tahun peminat mereka sudah terbiasa dengan genre dan imej sebelum ini.
Demi menghidangkan kelainan berimpak, tiga wanita cantik mengakui pening kepala dibuatnya.
“Masalah ini juga menjadi salah satu faktor kenapa kami lambat untuk membuat ‘comeback’. Macam-macam perkara yang perlu difikirkan.
“Antaranya, apa identiti baharu yang mahu kami tampilkan. Banyak masa dihabiskan dalam studio semuanya demi mencari lagu yang sesuai untuk kami bertiga,” kata Sabronzo.
Pelbagai perancangan yang direncanakan Dolla pada tahun ini termasuklah mahu mengembangkan karier muzik mereka ke negara jiran, Indonesia.
Namun mereka akan terlebih dahulu menerjah negara sebarang tambak untuk membuat konsert di sana.

Misi ke Indonesia
“Banyak yang kami rancangkan pada tahun ini antaranya membuat persembahan di Singapura serta menyertai festival muzik di Indonesia.
“Ini adalah langkah pertama kami untuk menawan peminat di Indonesia pula.
“Sebelum ini banyak dapat ‘feedback’ daripada peminat Indonesia. Namun kami belum berkesempatan untuk mengembangkan muzik kami di sana. Jadi inilah masa yang paling tepat,” kongsi Tabby.
Jika sebelum ini Dolla lebih banyak terpalit dengan isu berpakaian seksi dan sering kali menjadi tajuk utama media tempatan, tetapi sejak kebelakangan ini mereka sering terkena tempias gosip cinta.