LANGKAWI – Futurise Sdn. Bhd. (Futurise) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) melancarkan Laporan Industri Mobiliti Udara Maju (AAM) bagi merangsang ekosistem industri itu di negara ini.
Laporan tersebut dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini baru-baru ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Shafinaz Salim berkata, laporan AAM itu menggariskan inisiatif mobiliti udara lanjutan negara serta meneroka cabaran yang dihadapi oleh pihak berkepentingan industri.
“Ia turut menyediakan tinjauan jangka panjang mengenai hala tuju industri sepanjang 20 tahun akan datang serta menawarkan cadangan strategik bagi mengintegrasikan AAM ke dalam agenda pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, pembangunan pesat AAM di peringkat global menunjukkan potensi besar pasaran industri tersebut.
“Pada tahun 2022, pasaran AAM global dianggarkan bernilai AS$8.15 bilion dan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 24.6 peratus dari 2023 hingga 2035 sekali gus mencerminkan impaknya yang bersifat transformatif.
“Di Malaysia, AAM menjanjikan manfaat ekonomi yang signifikan yang mana antara tahun 2021 hingga 2040, pengenalan AAM dianggarkan menyumbang tambahan hasil sebanyak RM70 bilion, bersamaan 1.9 peratus daripada jumlah pendapatan negara,” ujarnya.
Jelasnya, daripada sudut penjanaan pendapatan, aktiviti AAM berpotensi menyuntik sebanyak RM14 bilion dalam bentuk gaji, mewakili 2.3 peratus daripada jumlah pendapatan negara, terutama dalam memberi manfaat kepada pekerja yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur dan operasi.
Tambahnya, pelaburan yang semakin meningkat daripada syarikat, pelabur modal teroka dan kerajaan turut mencerminkan potensi ekonominya, namun beberapa cabaran masih perlu diatasi seperti kekurangan infrastruktur, rangka kerja perundangan dan dasar yang lapuk serta kekangan bakat tempatan
“Dalam menangani halangan ini amat penting untuk membuka potensi penuh AAM dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam mobiliti udara generasi baharu.
“Sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pemandu AAM, Futurise secara proaktif bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam membangunkan dokumen konsep operasi (ConOps) di bawah inisiatif regulatory sandbox,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim pula berkata, laporan tersebut meneroka peluang dan kekangan dalam persekitaran semasa, khususnya di kawasan bandar dan kawasan yang kurang mendapat perhatian.
“Selain memperkukuhkan pemahaman terhadap subjek ini dan merangka senario masa depan, laporan ini turut menekankan kesannya ke atas ekosistem sokongan termasuk insentif kewangan, infrastruktur dan institusi, rangka kerja perundangan dan dasar, pembangunan bakat, serta teknologi dan inovasi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE