PETALING JAYA – City University Malaysia (City University) telah menganjurkan sebuah forum antarabangsa di kampus terbaharunya di Cyberjaya baru-baru ini dan berjaya menarik lebih daripada 450 peserta bukan sahaja daripada pelajar serta pendidik tetapi juga daripada kumpulan profesional.
Forum bertemakan ‘Membina Syarikat Pemula yang Mampan dalam Ekonomi Sedang Membangun’ telah dihadiri Naib Canselor universiti tersebut Profesor Dr. Rosnizah Shaari.
Selain itu, ia turut menampilkan tiga pakar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Canselor IUT Nice Côte d’Azur, Perancis dan Naib Pengerusi, Majlis Afrika untuk Keusahawanan dan Inovasi, Profesor Boualem Aliouat; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Prof. Adjung Rizal Nainy yang juga Profesor Adjung di City University Malaysia.
Pakar lain adalah Peguam Korporat yang memiliki pengalaman lebih daripada 25 tahun di London dan New York, Pierre Brochet yang juga Presiden Union des Français de l’Etranger di Malaysia.
Salah satu aktiviti kemuncak bagi forum antarabangsa berkenaan adalah sesi panel antarabangsa yang membawa pemimpin industri ke kampus untuk berkongsi pandangan dan kepakaran demi memperkayakan pengetahuan pelajar.
Pandangan yang dikongsi dalam sesi panel merangkumi bidang undang-undang, pembangunan perniagaan, dan akademik telah memberikan gambaran menyeluruh tentang bagaimana keusahawanan mampan boleh disokong dan dikembangkan.
Mengulas lanjut mengenai tajuk ‘Membina Syarikat Pemula yang Mampan dalam Ekonomi Sedang Membangun’, Prof Adjung Rizal memberi pandangan bahawa, usahawan muda perlu memiliki pelan perniagaan yang cukup kukuh untuk menarik minat pelabur.
“Anda perlu mempunyai semangat yang tinggi, berorientasikan matlamat, sanggup mengambil risiko yang dikira, dan menyokong idea anda dengan analisis serta angka yang kukuh. Itulah faktor X bagi sesebuah perniagaan.”
Pendapat tersebut turut dikongsi oleh Brochet yang memaklumkan bahawa, mereka yang memiliki idea yang cemerlang dengan modal yang mencukupi akan menjadi syarikat pemula disruptif berpotensi yang akan memberi kesan kepada seluruh masyarakat.
“Jadi adalah penting untuk kita melibatkan masyarakat dan pihak kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Prof Aliouat pula menyatakan, wang bukanlah kunci kejayaan tetapi apa yang lebih penting adalah membina pasukan impian anda serta menjaga kebajikan mereka.
“Kepercayaan diri memainkan peranan utama jika anda yakin akan berjaya, anda pasti akan berjaya; jika anda yakin akan gagal; anda pasti akan gagal,” ujarnya.
Selepas acara tersebut, satu tinjauan yang dijalankan dalam kalangan pelajar yang hadir mendedahkan, sebanyak 63 peratus telah menyatakan minat untuk memulakan perniagaan selepas tamat pengajian, manakala 75 peratus memaklumkan bahawa mereka akan menyertai pertandingan syarikat pemula anjuran universiti pada masa hadapan.
City University yang telah menduduki tangga ke enam sebagai universiti swasta terbaik di ASEAN oleh AppliedHE komited untuk memberi tumpuan terhadap prestasi akademik yang cemerlang dan juga mahu memastikan para pelajar memperoleh pendedahan kepada dunia pekerjaan melalui penglibatan khas bersama pemimpin pemikiran antarabangsa.
Fakulti Perniagaan dan Pengurusan di universiti berkenaan menawarkan pelbagai program menyeluruh daripada peringkat asas hingga kedoktoran termasuk kursus yang direka untuk kerjaya dalam bidang kewangan, perakaunan, pengurusan perniagaan, dan pemasaran.
Semua program diiktiraf sepenuhnya oleh MQA, dengan ijazah dalam bidang Perakaunan, Perniagaan dan Pengurusan turut mendapat pengiktirafan daripada badan profesional seperti ACCA dan IPA. -KOSMO! ONLINE