BAGI sesetengah insan, persaraan menandakan penghujung sebuah perjalanan.
Namun, bagi seorang legenda negara, ia sebaliknya menjadi titik permulaan kepada misi yang lebih besar dalam membentuk generasi muda agar lebih berani, yakin kepada diri dan cekal menghadapi cabaran kehidupan.
Begitulah lembaran baharu yang kini sedang dilalui oleh bekas pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol David.
“Bagi saya, persaraan merupakan satu babak yang baharu sepenuhnya dan saya menyambutnya dengan perasaan ingin tahu yang sama seperti sewaktu bergelar pemain kerana ia memberi saya peluang untuk berbakti menerusi pendekatan berbeza.
“Jadinya, saya rasa amat puas dengan semua yang telah dicapai sepanjang kerjaya skuasy profesional sehingga tidak merindui kehidupan persaingan itu kerana telah memberikan segalanya untuk menjadi yang terbaik,” ungkapnya kepada K-Wanita baru-baru ini.
Bersara sejak tahun 2019, kini Nicol memberikan perhatian kepada pembangunan diri anak muda menerusi Nicol David Organisation (NDO).
Kepuasan sebenar Nicol kini adalah apabila dapat menyaksikan sendiri perkembangan positif dan peningkatan rasa percaya diri dalam jiwa setiap peserta program.Ketika menceritakan kembali detik awal penglibatannya dalam arena sukan skuasy, Nicol berkongsi bahawa minat tersebut sebenarnya bermula sejak dia memegang raket buat kali pertama pada usia lima tahun.
“Saya mula memegang raket pada usia lima tahun dan terpesona dengannya, tetapi apa yang membuatkan saya benar-benar jatuh cinta pada awalnya ialah proses belajar untuk menjadi lebih baik daripada hari semalam,” katanya.
Perasaan ingin tahu serta keinginan untuk sentiasa memperbaiki diri itulah yang akhirnya membentuk asas kukuh kepada perjalanan panjang yang mengangkat namanya di pentas antarabangsa.
Hasil daripada disiplin harian tersebut, Nicol akhirnya berkembang dari seorang kanak-kanak yang dahulunya hanya mahu menjadi lebih baik pada setiap hari ke legenda yang berjaya memegang gelaran No.1 dunia selama 108 bulan berturut-turut serta merangkul lapan kejuaraan dunia.
Meskipun mencapai dominasi sedemikian, Nicol tetap mengakui bahawa kejayaan di peringkat tertinggi itu tidak pernah hadir tanpa cabaran, selain percaya kekuatan sebenar terletak pada keupayaan mengawal emosi ketika berdepan tekanan.
BAGI memastikan penguasaan berterusan di gelanggang, Nicol sentiasa berpegang teguh kepada proses latihan yang konsisten tanpa membiarkan emosi menguasai diri.
“Kekuatan mental bukannya bermaksud kita tidak pernah merasa tertekan atau takut, sebaliknya ia adalah tentang menerima emosi tersebut dan tetap memilih untuk beraksi dengan penuh keberanian.
“Konsistensi pula lahir daripada pematuhan kepada sesuatu proses, sama ada ketika menjalani latihan, pemulihan, belajar daripada kekalahan mahupun persediaan mental,” tambahnya.
Nicol suatu ketika dahulu menjadi pemain perseorangan wanita No.1 dunia dalam sukan skuasy.Berikutan daripada konsistensi tinggi tersebut, antara detik yang paling bermakna dalam lipatan kerjayanya adalah apabila muncul Juara Dunia buat kali pertama di Hong Kong pada tahun 2005.
“Setiap Kejohanan Dunia memberi makna yang tersendiri kerana masing-masing hadir dengan cabaran yang berbeza.
“Namun jika perlu memilih, kejayaan merangkul Kejohanan Dunia buat kali pertama di Hong Kong pada tahun 2005 amat bermakna buat saya kerana ia merealisasikan impian saya, selain memberi keyakinan bahawa tiada apa yang mustahil,” ujarnya.
Kemenangan bersejarah itu menjadi lebih bernilai kerana ia dicapai hasil pengorbanan besar beliau yang berani berhijrah ke luar negara seawal usia 18 tahun demi mengejar impian skuasynya.
Pengalaman hidup berdikari jauh daripada keluarga pada usia muda itu bukan sahaja membentuk ketahanan emosinya, malah menyedarkan beliau tentang tanggungjawab besar yang dipikulnya buat negara.
“Menggalas cabaran Malaysia sentiasa menjadi penghormatan terbesar dalam hidup saya. Satu daripada kejayaan terbesar saya bukannya sekadar menjadi No. 1 dunia, tetapi kemampuan untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia, terutamanya anak-anak gadis, untuk percaya bahawa kita mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia,” luah beliau.
Nicol akhirnya mengambil keputusan untuk menamatkan kerjaya profesionalnya secara rasmi pada tahun 2019.
Keputusan besar tersebut diambil dengan penuh kerelaan untuk melangkah ke fasa kehidupan baharu tanpa sebarang penyesalan.
Kekal aktif, Nicol kini turut bermain sukan santai seperti padel dan pickleball.Atas dasar itu, beliau merasakan tiada apa-apa lagi yang perlu dibuktikan dalam arena skuasy, sebaliknya berasa sangat bersyukur dapat melangkah ke lembaran baharu demi memberi sumbangan kepada generasi muda.
Sejurus melabuhkan tirai kerjaya profesionalnya, Nicol memilih untuk menyalurkan pengalaman dan nilai kehidupan yang dipelajarinya menerusi penubuhan Nicol David Organisation (NDO).
Di NDO, Nicol membimbing kanak-kanak latihan skuasy, bahasa Inggeris, bengkel kemahiran hidup dan perancangan nutrisi.
Penubuhan organisasi kebajikan itu lahir daripada kepercayaannya bahawa sukan merupakan wadah terbaik dalam membentuk karakter, ketahanan emosi dan kepimpinan dalam kalangan generasi baharu.
“Saya percaya setiap kanak-kanak berhak diberikan peluang untuk mengenali potensi diri mereka tanpa mengira latar belakang kehidupan.
“Sebab itu di NDO, kami menggabungkan sukan, pendidikan dan pembangunan sahsiah sebagai pendekatan utama untuk membimbing anak-anak ini,” tambahnya.
Pendekatan menyeluruh itu dirangka khas bagi memastikan setiap peserta bukan sahaja terasah dari segi bakat atletik, malah turut berkembang sebagai individu yang berkeyakinan dan berdaya tahan tinggi.
Nicol sendiri memilih untuk turun padang sebagai Penyelaras Program bagi memantau perkembangan peserta, membimbing pasukan dan memastikan setiap modul memberi impak positif.
Berbekalkan fokus baharu ini, penanda aras kejayaan buat beliau tidak lagi diukur melalui jumlah trofi atau kedudukan ranking dunia.
Sebaliknya, kepuasan sebenar apabila Nicol menyaksikan sendiri perkembangan positif dan peningkatan rasa percaya diri dalam jiwa setiap peserta program.
“Apabila saya mendengar cerita daripada kanak-kanak, ibu bapa atau jurulatih tentang bagaimana anak-anak ini menjadi lebih berdaya tahan dan berkeyakinan menerusi program kami, itulah pencapaian terbesar saya,” katanya penuh rasa syukur.
Di samping menguruskan perjalanan organisasi berkenaan dan menyampaikan ceramah motivasi, rutin hariannya kini masih dipenuhi dengan pelbagai aktiviti fizikal yang menyihatkan.
Nicol turut kekal aktif bersenam serta bermain sukan santai seperti padel dan pickleball demi mengekalkan kesihatan tubuh badan serta minda yang seimbang.
Mengakhiri bicara, Nicol menegaskan kepada seluruh anak muda Malaysia supaya tidak pernah membiarkan sesiapa menghalang cita-cita mereka.
“Khusus buat anak-anak, ketahuilah bahawa suara anda berharga, kepimpinan anda penting dan potensi anda tiada hadnya.
“Kita mesti pegang nilai diri dan jangan pernah berhenti percaya bahawa anda mampu membawa perubahan positif,” kata Nicol.

18 hours ago
7















![[VIDEO] Penganjur RXZ Members digesa beri anugerah kepada ‘Pak Su Tomoi’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/d1cd6874-dae9-4887-9372-773c573d6ae4.jpeg)

































