KUALA LUMPUR – Banyak adegan romantik dan bersentuhan dengan aktor Indonesia, Adipati Dolken dalam filem Mojoku Hilang!, pelakon Mimi Lana menegaskan babak tersebut dirakam sebelum bergelar seorang isteri.
Ujar Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, penggambaran filem berkenaan berlangsung pada Januari 2025, sekali gus tidak memerlukan perbincangan dengan suaminya yang juga aktor Syafiq Kyle ketika itu.
“Sebenarnya saya menjalani penggambaran filem ini pada Januari 2025, sebelum berkahwin.
“Namun selepas berkahwin, banyak perkara berubah termasuk keputusan berkaitan pemilihan watak.
“Dulu saya belum bergelar isteri, tetapi sekarang saya sudah berkahwin, jadi setiap keputusan perlu dibincangkan dan mendapat persetujuan suami terlebih dahulu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Paling penting kata Mimi, statusnya sebagai isteri orang kini membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih tawaran lakonan, terutama melibatkan watak atau babak tertentu.
Katanya, meskipun belum berdepan situasi perlu membuat keputusan mengenai naskhah romantik selepas berkahwin, pandangan suami tetap menjadi keutamaan.
“Setakat ini saya belum menerima sebarang projek bergenre komedi romantik selepas berkahwin, jadi belum timbul sebarang perbincangan mengenai perkara itu.
“Cuma sekarang, apa juga keputusan berkaitan kerjaya, saya akan berbincang dan meminta pandangan suami terlebih dahulu,” ujarnya pada tayangan perdana filem berkenaan di sini, hari ini.
Untuk rekod, Mimi dan Syafiq Kyle sah bergelar suami isteri pada 14 Februari 2025.
Mojoku Hilang! arahan Min Lim bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai ini.
Filem terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films itu turut menjadi naskhah pertama menemukan Mimi bergandingan dengan Adipati Dolken sebagai pasangan utama.
Naskhah terbabit juga dibintangi pelakon hebat seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato A. Tamimi Siregar, Haeriyanto Hassan, Tony Eusoff, Farah Ahmad, Gambit Saifullah. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
6












































