Festival Kraf Pantai Timur 2025 beri tumpuan kepada kerjasama B2B

1 day ago 6

KUANTAN – Festival Kraf Pantai Timur (FKPT) 2025 kembali dengan pendekatan baharu yang lebih berdaya saing apabila mengetengahkan aktiviti Padanan Perniagaan Business to Business, atau perniagaan ke perniagaan (B2B) antara usahawan kraf tempatan dan pemain industri besar seperti hotel, syarikat korporat dan pengedar produk.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, festival kali ke-6 anjuran Kraf­­ta­ngan Malaysia itu dilihat sebagai platform penting bukan sahaja untuk menjual produk, malah turut membuka peluang jaringan perniagaan jangka panjang buat usahawan.

“Festival kali ini membawa pembaharuan yang lebih strategik selari dengan keperluan pasaran semasa, sekali gus memberi nilai tambah kepada peserta.

“Kita tidak mahu usahawan hanya terkenal di peringkat daerah. Sebab itu, tahun ini kita bawa pendekatan yang lebih komersial, yang dapat hasilkan kerjasama B2B,” katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Walkabout FKPT 2025 di pusat beli-belah East Coast Mall dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli.

Festival yang berlangsung selama 13 hari bermula 22 Mei hingga 3 Jun itu menyaksikan penyertaan 74 usahawan dari pelbagai bidang kraf seperti tekstil, logam, hasil rimba dan aneka kraf yang mempamerkan kepelbagaian serta keunikan hasil tempatan.

Mohd. Yusri berkata, sesi padanan perniagaan itu bukan setakat pertemuan sekali lalu di festival berkenaan, sebaliknya akan disusuli dengan perbincangan lanjut yang diselaraskan oleh Kraftangan Malaysia untuk memastikan kesepakatan yang memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.

“Dengan pelaksanaan strategi baharu itu, Kraftangan Malaysia optimis sasaran jualan seba­nyak RM3 juta akan dapat dicapai sepanjang tempoh festival berlangsung, meningkat daripada RM2.1 juta yang direkodkan pada penganjuran tahun lalu.

“Kita yakin sasaran ini mampu dicapai dengan sokongan pe­ngunjung sempena cuti sekolah, promosi yang giat dijalankan serta keunikan produk kraf tempatan yang semakin mendapat perhatian,” jelasnya.

Menurut beliau, FKPT turut berfungsi sebagai medan promosi penting kepada lebih 6,000 usahawan kraf yang berdaftar dan pihak penganjur menyeru lebih ramai pengusaha mendaftar untuk merebut peluang dan insentif yang ditawarkan.

“Kami sediakan pelbagai bantuan termasuk dari segi produk, latihan kemahiran, peluang perniagaan dan sebagainya.

“Untuk festival kraf yang akan datang kita rancang skala yang lebih besar kerana festival ini ada ikut zon dan negeri.

“Jadi untuk tahun ini, festival ini yang pertama dan kita ada lapan hingga sembilan lagi siri festival yang dirancang
ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |