F1: McLaren tidak guna taktik haram

5 hours ago 2

LONDON – McLaren tidak melanggar sebarang peraturan teknikal selepas disiasat oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) berhubung dakwaan kononnya mereka menggunakan air bagi menyejukkan tayar jentera Formula Satu (F1).

Siasatan dilakukan susulan dominasi McLaren musim ini termasuk kemenangan kelima daripada enam perlumbaan hingga mencetus persoalan khususnya berkaitan pengurusan suhu tayar jentera MCL39.

Kontroversi tayar tercetus selepas Red Bull sebelum ini mendakwa McLaren mungkin menyuntik air ke dalam tayar untuk mengelakkannya terlalu panas.

Bagaimanapun, tiada sebarang bukti ditemui sepanjang siasatan, termasuk pemeriksaan ke atas jentera pendahulu keseluruhan ketika ini, Oscar Piastri, yang menjuarai Grand Prix Miami baru-baru ini.

“Selepas perlumbaan di Miami, jentera nombor 81 (Piastri) dipilih secara rawak daripada sepuluh kereta teratas untuk pemeriksaan fizikal lebih menyeluruh.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas struktur roda dan sistem brek di keempat-empat penjuru kereta. Semua komponen didapati mematuhi Artikel 3.13 dan Artikel 11.5 dalam Peraturan Teknikal Formula Satu 2025,” kata FIA dalam satu kenyataan.

Selain McLaren, jentera Ferrari dipandu Charles Leclerc turut melalui pemeriksaan dan didapati sah dari segi teknikal.

Ketua Eksekutif McLaren Racing, Zak Brown menggesa agar sebarang tuduhan terhadap pasukan lain dibuat secara rasmi dan bukannya melalui saluran tidak formal.

“Dalam sejarah F1, memang sudah menjadi kebiasaan sesetengah pasukan menuduh yang lain tanpa asas kukuh.

“Sudah sampai masanya proses membuat tuduhan dibuat secara telus. Mesti ada dokumen rasmi, bayaran dikenakan dan jika dakwaan tidak berasas, ia harus memberi kesan kepada bajet pasukan tersebut.

“Ini boleh mengurangkan dakwaan palsu yang hanya mengganggu fokus pasukan lain,” jelas Brown. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |