Enggan kecewakan rakan Muslim, lelaki Cina sanggup cari ayam halal

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila rakan sekerjanya yang bukan beragama Islam sanggup membeli ayam halal semata-mata mahu dia merasai nasi ayam hasil air tangan sendiri.

Perkongsian oleh pengguna Threads, @Haimishamsudin, itu menjadi perhatian ramai selepas dia menceritakan pengalamannya bekerja di Singapura bersama rakan daripada pelbagai kaum.

Menurutnya, rakan berbangsa Cina itu pada mulanya mengajaknya mencuba nasi ayam yang dimasak, namun dia menolak kerana bimbang penyediaan makanan tersebut tidak memenuhi syarat halal.

Bagaimanapun, rakannya tidak berputus asa, malah sanggup ke pasar membeli ayam halal selain memastikan semua peralatan memasak seperti pisau dan bekas yang digunakan tidak pernah bersentuhan dengan daging babi.

“Dia cakap jangan risau, dia tahu saya Muslim dan semua mesti halal. Hari ini dia jalan kaki hantar nasi ayam depan depot tempat saya kerja. Dia siap suruh makan banyak sebab kerja angkat orang ramai,” katanya.

Hantaran itu turut disertakan gambar ayam halal yang dibeli serta nasi ayam yang dimasak khas sebelum dihantar kepada lelaki berkenaan.

Menjegah ke ruangan komen, netizen memuji sikap prihatin rakannya yang menghormati kepercayaan agama serta sanggup berusaha memastikan makanan yang disediakan adalah halal.

Seorang pengguna, @Cd.6.6, berkata individu seperti itu sukar ditemui dan berharap penulis menghargai segala usaha yang dilakukan rakannya.

“Susah nak dapat kawan macam ni. Hargai sangat-sangat kawan macam ni. Harap awak balas balik usaha murni dia. Dia memang baik hati,” katanya.

Pengguna @Meiguizz pula berkongsi pengalaman mempunyai rakan bukan Islam yang menyediakan set periuk dan peralatan makan khas untuk tetamu Muslim setiap kali mereka berkunjung ke rumahnya.

“Rezeki dapat kawan bukan Muslim yang baik. Kawan saya pun ada set periuk dan peralatan makan khas untuk kawan-kawan Muslim bila datang ke rumah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |