Enam langkah Malaysia hadapi tarif AS

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani mengatur sebanyak enam langkah bagi mendepani senario global semasa termasuk tarif timbal balas dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah pertama adalah memantau petunjuk utama ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja sekira berlaku dan pertumbuhan pinjaman.

“Langkah kedua adalah rundingan penyelesaian tarif timbal balas dengan AS. Ikhtiar telah diusaha bagi menambah baik hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Antaranya pembelian atau pengimportan strategik daripada AS. Umpamanya, tempahan 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG)

“Proses perdagangan dan pelaburan akan dimudah dan dasar mesra pelaburan juga dirangka,” katanya pada sesi mesyuarat khas penerangan berkenaan isu tarif AS di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, langkah ketiga adalah membantu pengeksport Malaysia yang terjejas khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

Kata beliau, kerajaan bersetuju meningkatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP)

Tambah beliau, kerajaan turut bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat usahawan PKS.

Kata Anwar, langkah keempat adalah menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu seperti di Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta memperkukuh perdagangan serantau terutama dengan negara anggota ASEAN.

Ujar beliau, langkah seterusnya adalah mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan kerajaan termasuk untuk pelaburan.

“Keenam, meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi Madani terutama dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |