Dunia Islam perlu bangkit sebagai kuasa harapan, kemanusiaan

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dunia Islam agar bangkit sebagai kuasa bersama yang membawa harapan dan penyelesaian kepada dunia yang semakin berpecah.

Seruan ini disuarakan beliau dalam ucaptama sempena KazanForum 2025 yang berlangsung di Kazan, Russia, semalam.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan perlunya dunia Islam membina kekuatan bersama, bukan sahaja dari sudut politik dan geopolitik, tetapi juga melibatkan bidang ekonomi, teknologi serta pembangunan insan.

“Di bumi Tatarstan ini, saya temui semangat kental, keteguhan dan keberanian rakyat Tatar yang tidak pernah tunduk walau dilanda ujian seperti pernah digambarkan Leo Tolstoy dalam karyanya Haji Murat.

“Saya lihat semangat itu terzahir dalam forum ini daripada komitmen pimpinan seperti Rais Rustam Minnikhanov, hingga ke usaha konkrit membina sinergi antara negara Islam dan Rusia dalam bidang ekonomi, teknologi dan pembangunan insan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Katanya, Malaysia menyambut baik ruang kerjasama ini dan bersedia untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan bermakna.

“Dalam ucaptama, saya tegaskan bahawa dunia Islam perlu meneroka potensi besar industri halal dan kewangan Islam secara serius sebagai sektor ekonomi strategik. Nilai industri halal global kini melebihi AS$3 trilion, namun potensi ini belum diteroka sepenuhnya.

“Saya turut gariskan kepentingan peralihan tenaga dan transformasi digital sebagai keutamaan bersama, umpamanya inisiatif seperti ASEAN Power Grid yang menghubungkan tenaga merentasi sempadan geografi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa segala kemajuan material mestilah seiring dengan nilai dan akhlak.

“Dalam dunia yang semakin pincang akibat hipokrasi dan sikap pilih kasih terhadap penderitaan manusia, kita perlu kembali kepada asas yakni ihsan, kemanusiaan, keadilan dan kasih sayang.

“Gaza adalah contoh nyata bagaimana kemanusiaan dinafikan hanya kerana geopolitik dan kuasa,” ujarnya.

Anwar sempat merakamkan penghargaan kepada Presiden Vladimir Putin dan Rais Rustam Minnikhanov atas komitmen menjadikan KazanForum sebagai platform dialog yang tulen dan pragmatik.

Beliau turut menyeru agar suara anak muda diberi ruang dan pertimbangan serius dalam membentuk masa depan, memandangkan generasi inilah yang bakal meneruskan perjuangan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |