KUALA LUMPUR – “Saya bayar loan (pinjaman) bank, duit pampasan diberhentikan kerja pun habis, sekarang semuanya tinggal angin.”
Salah seorang mangsa pelaburan, Geetha Muniandy, 41, mendakwa mengalami kerugian RM90,000 selepas melabur dalam skim pelaburan mesin layan diri (vending machine) yang disyaki penipuan.
Menurut Geetha, dia diperkenalkan dengan skim itu oleh kenalannya yang menjanjikan pulangan lumayan sebanyak RM1,500 sebulan bagi setiap mesin bernilai RM30,000.
“Saya beli tiga vending machine, keseluruhan RM90,000. Mereka janji saya akan dapat ‘interest’ RM1,500 sebulan selama lima tahun dan akan disambung lima tahun lagi. Tapi saya cuma terima bayaran dua bulan saja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.
Namun, katanya, selepas dua bulan, bayaran tersebut terhenti dengan alasan penangguhan disebabkan pandemik Covid-19.
“Mula-mula mereka kata tangguh dua tiga bulan, kemudian enam bulan, lepas tu jadi setahun, sekarang langsung tiada bayaran. Bila kita hubungi mereka, semua menghilang. Tak tahu nak cari di mana,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Chandra Segaran, 65, berkata, dia kesal selepas pihak pendakwaan memutuskan tiada tindakan lanjut meskipun laporan polis lengkap disertakan dokumen pelaburan.
“Saya ni bukan sekolah tinggi, tapi saya tahu kalau orang janji tak tepati, itu maknanya menipu. Macam mana boleh kata bukan tipu kalau dia tak bayar dan mesin pun tak bagi?” katanya.
Katanya, wang yang digunakan adalah simpanan hari tua yang sepatutnya digunakan untuk meneruskan kehidupan selepas bersara.
Kedua-dua mereka antara 228 mangsa terperdaya skim pelaburan berbentuk vending machine dan mesin kopi layan diri sehingga menyebabkan mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM14.3 juta hadir di sini bersama pihak Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Mereka berharap pihak berkuasa terutama SSM dan pihak berkuasa lain menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu. – KOSMO! ONLINE