PETALING JAYA – Menunaikan hajat penyumbang, pelakon Amar Baharin bersyukur dapat peluang menyerahkan pek makanan kepada jemaah serta orang ramai di Masjid Nabawi, Madinah.
Amar atau nama sebenarnya Amar Mohf. Baharin, 39, berkata sumbangan tersebut adalah hasil infak ramai dermawan sepanjang Misi Journey to Tanah Haram bersama rakannya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin.
“Alhamdulillah semua duit infak yang diberi sebelum mula perjalanan, di tengah perjalanan dan sesudah sampai di Tanah Haram Madinah telah saya infakkan menerusi [email protected] untuk diagihkan kepada jemaah di Masjid Nabawi,” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Suami kepada pelakon Amyra Rosli itu turut menzahirkan penghargaan terhadap semua individu dan penyumbang yang bermurah hati berkongsi rezeki.
“Semoga menjadi ladang pahala buat semua yang menginfakkan harta mereka ke jalan Allah,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen berdoa agar urusan Amar dan Qobin yang tiba di Madinah, Arab Saudi 29 Mei lalu selepas berbasikal selama lebih sebulan merentas pelbagai negara dipermudahkan.
“Alhamdulillah, akan datang mesti ramai akan buat begini. Rasa nikmat tu,” tulis seorang pengikut.
“Madinah adalah tempat terbaik untuk healing. Tenang sahaja. Mesti rasa nak datang lagi,” kata pemilik akaun lain.
Misi kayuhan Amar dan Qobin sampai ke penghujungnya selepas selamat tiba di Masjid Nabawi pada 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu tempatan), Khamis lalu.
Dua sahabat itu memulakan perjalanan sejak 27 April lalu yang disempurnakan pelepasannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra. – KOSMO! ONLINE