TAMPIN – Dua peniaga mendakwa menjadi mangsa duit palsu not RM100 dalam tempoh kurang sejam, di sini, pagi semalam.
Seorang peniaga, Hasbullah Mohd. Saleh, 47, berkata, duit palsu berkenaan diterima oleh isterinya, Siti Samsalwati Mohd Ramli, 37, daripada peniaga apam balik berhampiran.
Bagaimanapun menurutnya, wang RM100 itu disedari palsu selepas isterinya mahu membayar duit tempahan kek serta jambangan bunga sempena hari lahir anak sulung mereka petang semalam.
“Peniaga kedai kek itu memberitahu duit itu palsu. Jika diteliti betul-betul memang kita akan sedar saiz duit itu lebih kecil selain warnanya pudar terkena air,” dakwanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, pekerja sebuah kedai minuman dikenali Mira, 21, berdasarkan rakaman televisyen tertutup (CCTV) dia mendakwa didatangi seorang lelaki menaiki kereta Perodua Myvi kira-kira pukul 10.24 pagi.

Katanya, pekerja sambilan yang mengendalikan kedainya tidak memeriksa duit berkenaan menggunakan alat pengimbas selepas menerima wang daripada lelaki tersebut.
“Kami sudah pun membuat laporan polis dan wang berkenaan juga sudah diserahkan kepada pihak sepatutnya. Kami harap agar pelakunya dapat ditangkap dan peniaga lain dapat lebih berhati-hati menerima wang bernilai besar.
“Rakaman CCTV memaparkan imej lelaki itu juga telah diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONINE