KUALA LUMPUR – Dua pengurus program permotoran didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan notis ‘saman hadir’ palsu menyerupai dokumen rasmi polis bagi menipu orang ramai, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh iaitu Tan Kok Ho, 43, dan Denise Tan Ying Chyuan, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut dua pertuduhan, dua lelaki itu bersama-sama menggunakan sebagai tulen suatu dokumen palsu iaitu notis ‘Saman Hadir’ yang menyerupai notis rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM.170A) sedangkan mereka mengetahui dokumen itu adalah palsu dengan niat untuk menipu dan memperdayakan orang awam.
Kesalahan itu dilakukan masing-masing di parkir sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Mei dan 11 Mei lalu yang didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal dan Syafika Azwa Fikri memohon jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang tertuduh.
Peguam Phang Soon Mun yang mewakili dua lelaki itu memohon jaminan rendah sekitar RM3,000 atas alasan anak guamnya masing-masing penanggung tunggal keluarga.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua Majistret Atiqah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin manakala Majistret Illi Marisqa pula menetapkan RM3,500 masing-masing terhadap tertuduh dan sebutan semula kes pada 2 Julai ini.
Terdahulu tular video di media sosial memaparkan seorang individu menerima surat menyamai saman polis yang diselitkan di cermin hadapan kenderaan dan menyuarakan kebimbangan sekiranya ia adalah taktik terbaharu ‘scammer’. – KOSMO! ONLINE