PETALING JAYA – Kerancakan penganjuran Liga Profesional Mobile Legends:Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-15 yang berakhir minggu lalu masih dirasai dalam kalangan penggemar e-Sukan tanah air.
Apa tidaknya, finalis MPL Malaysia Musim ke-15, Selangor Red Giants OG Esports (SRG.OG) yang mempertahankan kejuaraan selama tiga musim berturut-turut dan naib juara, HomeBois akan mewakili Malaysia ke Mid Season Cup (MSC) sempena Piala Dunia E-sports (EWC) 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
Menariknya, SRG.OG akan turun ke pentas berprestij itu yang akan mebuka tirainya 10 Julai ini, sebagai juara bertahan dalam misi memburu gelaran antarabangsa kedua dengan hadiah utama bernilai AS$1 juta (RM4.28 juta).
Sebagai rekod, SRG.OG menjadi pasukan pertama Malaysia memenangi MSC, menewaskan AP Bren Sport dari Filipina 4-2 pada final tahun lalu sekali gus menamatkan kemarau tujuh tahun wakil negara untuk menjuarai kejohanan antarabangsa Mobile Legends.
Enggan melepaskan peluang, dua kuasa besar digital, UniPin dan Viu Malaysia secara rasmi bekerjasama dalam satu kempen menarik bertajuk ‘Gaming Meets Drama’ yang menggabungkan keterujaan permainan atas talian dengan daya tarikan emosi drama Asia.
Naib Presiden Kanan Pemasaran Kumpulan UniPin, Nicholas How berkata, kolaborasi itu memberi ganjaran kepada keluarga yang fanatik terhadap permainan video dan juga drama Asia dengan nilai yang sangat berbaloi.
“UniPin menawarkan pelbagai pilihan tambah nilai permainan mudah alih dengan lebih daripada 50 judul permainan di laman web kami. Antara permainan popular termasuk Mobile Legends:Bang Bang, Genshin Impact, Call of Duty: Mobile dan Racing Master.
“Kini, dengan hanya mendaftar akaun UniPin secara percuma, anda akan menerima langganan Viu Premium selama satu bulan secara percuma,” katanya.
Kempen UniPin Malaysia x Viu Malaysia berlangsung eksklusif di Malaysia bermula 20 Jun hingga 31 Disember 2025 dan menawarkan pelbagai ganjaran serta promosi eksklusif kepada peminat hiburan digital di Malaysia. – KOSMO! ONLINE