Dua beradik cilik minat tentera teruja tengok jet pejuang

8 hours ago 1

LANGKAWI – Sepasang suami isteri membawa dua anak lelaki berusia empat dan tujuh tahun ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) kerana minat mendalam anak mereka dalam bidang ketenteraan.

Menurut Nor Azlina Azri, 33, anaknya, Muhammad Khayr Asytar Muhammad Khairi, 7, dan adiknya, Muhammad Khayr Asyfar, 4, juga mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan tidak pernah terlepas mengikuti sambutan kemerdekaan negara setiap tahun.

Katanya, dia dan suami, Muhammad Khairi Mohammad Azmi, 33, serta dua anak datang ke pulau peranginan ini bersama beberapa lagi ahli keluarga lain dari Kajang, Selangor.

“Anak-anak saya ini walaupun masih kecil, semangat patriotik mereka sangat tinggi. Bila tiba ulang tahun hari kemerdekaan negara, mereka memang teruja nak pergi.

“DI LIMA’25 ini pun mereka nampak seronok sangat bila dapat tengok pesawat tentera yang besar dan pertunjukan udara oleh jet pejuang di depan mata,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ujarnya, dia dan suami akan terus memberi dorongan mengikut minat kedua-dua anak mereka itu yang bercita-cita mahu menjadi seorang tentera.

“Anak saya yang sulung itu mula meminati tentera selepas menonton filem Leftenan Adnan. Mainan di rumah pun banyak yang berkaitan tentera seperti senapang.

“Buku-buku sejarah pun anak-anak suka, mereka suka nak tahu tentang sejarah negara dan kisah-kisah perjuangan tentera,” jelasnya.

Tambahnya, LIMA bukan sahaja menjadi pentas untuk pempamer untuk mempamerkan aset-aset ketenteraan dan teknologi canggih, malah menjadi platform untuk memupuk minat serta semangat cintakan negara dalam diri rakyat Malaysia terutama kanak-kanak.

Sementara itu, pengunjung, Nur Amirah, 27, berkata, dia pernah beberapa kali menghadiri LIMA sebelum ini dan berharap penganjuran LIMA edisi akan datang dapat menarik lebih banyak pasukan aerobatik berbanding dua pasukan, tahun ini.

“Persembahan aerobatik menjadi antara tumpuan utama pada LIMA, jadi harap penganjur dapat beri penekanan kepada kategori itu,” katanya.

Selain itu Nur Amirah juga berharap pihak penganjur dapat menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang lebih dekat dengan pusat pameran khusus buat orang kurang upaya (OKU) pada LIMA akan datang.

“Saya mengalami masalah berkaitan penglihatan dan ada tunjuk kad OKU kepada pihak yang mengawal lalu lintas tetapi malangnya tetap diminta meletakkan kenderaan di kawasan parkir orang awam yang terletak agak jauh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |