Dijemput Ilahi selepas bergelar haji

6 hours ago 4

MEKAH – Tiada kematian yang lebih dicemburui apabila ‘dijemput’ ketika menunaikan haji di Tanah Suci, malah jemaah kelapan dan kesembilan yang meninggal dunia kelmarin dan semalam itu sudah sempurna rukun haji selepas berwukuf di Arafah pada Khamis lalu.

Allahyarham Syed Baharom Syed Hussin, 72, dilaporkan telah menerima rawatan akibat serangan jantung di Khemah Mina sebelum dibawa ke Hospital Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Allahyarham yang berasal dari Alor Setar, Kedah disahkan meninggal dunia semalam di Hospital Mina Al Wadee pada pukul 4.53 pagi waktu tempatan.

“Lembaga Tabung Haji (TH) ingin memaklumkan satu lagi kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sembilan orang.

“Dalam pada itu, pihak TH telah memaklumkan berita pemergian Allahyarham kepada waris di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, rombongan haji Malaysia mencatatkan jumlah kematian kelapan iaitu Abd. Yazid Matt, 65, yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pakar Al Noor, di sini.

Allahyarham Abd. Yazid yang berasal dari Kangar, Perlis yang sempat berwukuf di Arafah meninggal dunia pada pukul 11.22 malam.

Mana-mana jemaah haji yang meninggal dunia semasa dan setelah berwukuf di Arafah dikira sudah sempurna rukun hajinya sekali gus tidak perlu dilaksanakan badal haji terhadap Allahyarham.

Mohd Na’im bersama seluruh barisan pengurusan tertinggi TH merakamkan ucapan takziah kepada waris serta ahli keluarga arwah dan mendoakan roh mereka dicucuri rahmat selain diterima segala niat mengerjakan rukun Islam kelima itu.

“TH akan terus memantau kesihatan semua jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya menasihatkan para jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi arahan petugas serta tidak memaksa diri dalam melakukan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal seperti melontar di jamrah, khususnya ketika cuaca panas ekstrem,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |