‘Dia tersepit belakang treler’

6 hours ago 2

BATU PAHAT – Hari pertemuan keluarga sepasang suami isteri warga emas menjadi detik perpisahan yang menyayat hati selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan dari Parit Raja ke Parit Abdul Rahman di sini semalam.

Dalam kemalangan itu, Mazalan Balia, 69, dan isterinya Radin Pauziyah Radin Ahmad, 75, yang menaiki kereta Perodua Kenari mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan masing-masing meninggal dunia pada pukul 12 tengahari dan 1.45 petang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Anaknya, Mohd Adnan Othman,34, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum bergegas pulang dari Kuala Lumpur ke Batu Pahat, namun tidak sempat menemui kedua ibu bapanya apabila sampai di hospital pada pukul 3 petang.

“Ketika dihubungi, saya hanya dimaklumkan ayah dalam keadaan tak sedar diri, jadi saya tak dapat gambarkan bagaimana keadaannya sama ada teruk atau tidak.

“Semalam adalah hari sepatutnya ayah dan emak jumpa adik beradik di kampung namun yang berlaku sebaliknya, mereka berdua akan sentiasa bersama terutama ketika ibu mendapatkan rawatan dialisis,”katanya.

Sementara itu, Hafizah Mohamad, 53, memberitahu ketika kejadian dia sedang berbual melalui panggilan telefon dengan ibu saudaranya, Radin Pauziyah sebelum terdengar dentuman kuat disusuli suara mengerang kesakitan.

Ujarnya, apabila menghubungi semula ibu saudaranya itu, panggilan itu dijawab seorang lelaki yang memberitahu ibu bapa saudaranya tersepit di belakang treler.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pukul 9.30 pagi ketika kereta Perodua kenari dinaiki pasangan itu dan sebuah lori terselerak daripada arah perjalanan sama iaitu daripada dari arah Bindu ke Tongkang Pechah.

“Ketika sampai ditempat kejadian, lori treler yang berada dihadapan kereta mangsa telah memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat bertukar menjadi merah.

“Akibat daripada kejadian itu, kereta dipandu warga emas itu tidak sempat memberhentikan kereta dinaikinya sehingga berlaku pelanggaran dibahagian belakang lori berkenaan,”katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |