Di mana saudara terdekat mangsa dera ibu bapa?

5 hours ago 2

GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang giat mengesan keluarga terdekat kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu bapanya pada minggu lalu.

Langkah itu bertujuan untuk penjagaan sementara di bawah kategori Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

Kanak-kanak itu masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil selepas diselamatkan setelah melalui situasi penderaan menyayat hati termasuk dikurung dalam sangkar anjing dan dipukul apabila melakukan kesalahan.

Menurut Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim, mangsa dikesan mengalami kecederaan fizikal oleh guru bimbingan dan kaunseling di sekolah sebelum kes dirujuk kepada JKM Daerah Barat Daya.

”Pelindung akan membuat penilaian dari semasa ke semasa dan akan merujuk kepada mahkamah untuk sebarang keputusan selepas mangsa dibenarkan keluar dari hospital,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan sepasang suami isteri berusia 47 dan 49 tahun ditahan selepas disyaki mendera anak mereka berusia 12 tahun di Sungai Ara, di sini.

”Mangsa dibawa ke One Stop Crisis Center (OSCC) Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan awal sebelum dirujuk ke HPP bagi mendapatkan rawatan lanjut dan pemantauan kesihatan serta emosi.

”Berikutan pendedahan mangsa bahawa dia dikurung dalam sangkar anjing sejak 2022, pihak berkuasa mengambil keputusan untuk tidak membenarkan ibu bapanya melawat buat sementara waktu demi keselamatan dan kestabilan emosi kanak-kanak tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, JKM turut menjalankan penilaian ke atas keselamatan seorang lagi anak lelaki pasangan itu yang berusia 15 tahun yang masih bersekolah bagi memastikan perlindungan menyeluruh terhadap dua beradik tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |