KUALA LUMPUR – Penerimaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kelmarin dilihat telah memperbaharui janji yang dibuat sewaktu penubuhan ASEAN pada tahun 1967.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada waktu itu, ahli pengasas ASEAN berjanji untuk ‘mengikat diri mereka bersama-sama dalam persahabatan dan kerjasama dan melalui usaha dan pengorbanan bersama untuk menjamin keamanan, kebebasan dan kemakmuran buat rakyat dan anak cucu.’
“Hari ini, kami memperbaharui janji itu – bukan sebagai penghormatan kepada masa lalu, tetapi sebagai perjanjian hidup untuk masa depan.
“Sering dikatakan bahawa cara terbaik untuk meramal masa depan adalah dengan menciptanya sendiri. Itulah yang ASEAN telah cuba lakukan melalui usaha, perkongsian dan visi strategik untuk tempoh berdekad lamanya.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang menyumbang kepada visi ini, yang dibentuk oleh kegigihan, pragmatisme dan kuasa serantau yang tenang serta amanah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2025: Masa Depan Kita Bersama.
Pada 8 Ogos 1967, ASEAN ditubuhkan oleh lima negara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, menerusi pemeteraian perjanjian yang dikenali sebagai Deklarasi Bangkok sebagai asas pembentukannya.
Matlamat utama adalah untuk menggalakkan kerjasama serantau dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan keselamatan.
Melangkah ke hari ini, Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama menggantikan dokumen ASEAN 2025: Maju Bersama, iaitu pelan hala tuju jangka panjang yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 di Kuala Lumpur pada 2015.
Visi ASEAN 2045 melakar laluan kolektif melalui anjakan teknologi yang pantas, keperluan iklim dan kerumitan geopolitik yang semakin meningkat, bertunjangkan kepada enam pelan strategik yang meliputi keselamatan politik, ekonomi, pembangunan sosio-budaya dan ketersambungan.
Ia menyeru kepada integrasi yang lebih mendalam, institusi yang lebih kukuh dan pertumbuhan inklusif yang meningkatkan setiap segmen masyarakat, terutamanya wanita, belia dan komuniti rentan.
Bagi Profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Datuk Dr. Sivamurugan Pandian, Deklarasi KL 2045 merupakan kerangka 20 tahun untuk membina ASEAN yang lebih inklusif, terangkum, mampan dan kukuh dari segi perpaduan dalam membina Komuniti ASEAN dengan keharmonian politik, sosio-budaya serta ekonomi.
Jelasnya, berbanding dokumen sebelum ini, ia berbeza kerana ASEAN 2045 adalah tentang masa depan bersama, manakala ASEAN 2025 Maju Bersama telah digunakan sejak 2015.
“Komuniti ASEAN dilahirkan selepas gagasan 2015 yang dibuat 10 tahun lalu.
“ASEAN 2025 melihat kepada tiga komuniti utama dalam konteks ekonomi politik dan budaya yang berpusatkan kepada rakyat; manakala Visi 2045 melihat kepada ASEAN sebagai kuasa ekonomi, digital dan hijau, lebih inklusif serta berdaya tahan.
“Visi 2045 merupakan work in progress, banyak yang perlu dilakukan dalam masa 20 tahun. Salah satunya ialah pembentukan Komuniti ASEAN yang menyembuhkan aspirasi, cita-cita dan masa depan serta cabaran serantau yang perlu dilalui bersama,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, visi berkenaan bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan permulaan kepada usaha kolektif untuk masa depan dan mengesahkan komitmen semua negara ahli terhadap ASEAN yang aman, berdaya tahan, serta berpaksikan rakyat.
Katanya, Visi Komuniti ASEAN 2045 membawa aspirasi berani dengan menjadikan rantau ini sebagai sebuah komuniti berdaya tahan, inovatif dan berorientasikan rakyat.
“Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini memberi peluang untuk kita menempatkan nilai-nilai tersebut di pusat hala tuju ASEAN ke arah realisasi Visi 2045 ,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE