KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini merasmikan mural batik terbesar di negara yang bertempat di Zon Jejak Pahlawan, Jalan Parlimen, di sini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, Mural Batik Madani tersebut berukuran sepanjang 183 meter, setinggi enam meter dan meliputi keluasan melebihi 1,100 meter persegi.
Beliau berkata, mural yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Berjaya Group Berhad itu diwujudkan dengan objektif utama untuk menyampaikan naratif kebangsaan yang inklusif serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Projek ini ialah contoh terbaik berkaitan 4P iaitu ‘Public, Private, People and Partnership’ ataupun program anak angkat yang menjadi asas pembangunan bandar yang mampan dan berkolaboratif.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pereka mural ini iaitu Arif Rafan Osman, Izad Ali dan Fazlan Rizan Johani yang menterjemahkan rekaan mural ini dengan penuh ketelitian di atas dinding yang berkeluasan lebih 1,100 meter persegi ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mural Batik Madani di Jalan Parlimen di sini hari ini.
Turut hadir merasmikan mural tersebut ialah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Sementara itu, Maimunah berkata, mural berkenaan menampilkan elemen batik yang kontemporari yang kaya dengan sibilisme ikatan Warisan dan kesinambungan antara tradisi dan masa hadapan.
“Ia juga menjadi satu titik tumpu dalam jaringan ‘Green Connector’ Kuala Lumpur yang merupakan salah satu projek ‘flagship’ DBKL yang menyatukan ruang hijau, tapak warisan dan kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar warga kota menghargai dan bersama-sama menjaga lukisan mural tersebut.
“Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan tahun melawat Malaysia 2026, Kuala Lumpur akan terus mengangkat seni awam sebagai medium penyatuan dan pembelajaran bersama.
“Kuala Lumpur akan terus memainkan peranan sebagai medan keterbukaan budaya, dialog serantau dan inovasi bandar dan Mural Batik Madani ini adalah antara langkah ke arah itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE