Datang konsert duduk saja, tak rock begitu – Barbarik

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Tinggal enam hari sahaja lagi, kumpulan Barbarik bakal mengegarkan Zepp Kuala Lumpur dengan Konsert Pentas Peluru Cokelat pada 28 Jun ini.

Barbarik yang dianggotai oleh Muss, JoBranko, Ainol dan Rozaimi berjanji untuk memberi persembahan terbaik dan berbaloi.

Menurut pemain gitar JoBranko atau nama sebenarnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, konsert yang bakal berlangsung itu cukup berbeza daripada persembahan mereka sebelum ini.

“Cabaran kita hari ini selain lambakan konsert adalah teknologi, setiap kali buat konsert pasti ada peminat yang merakam sedutan persembahan dan disiar di media sosial.

“Persembahan itu mereka boleh tonton berulang kali, jadi apa lagi yang boleh Barbarik berikan untuk peminat datang ke konsert? Jadi kami harus menjadi lebih kreatif untuk menampilkan kelainan.

“Dalam konsert Pentas Peluru Cokelat, selain konsert yang mempunyai cerita, kita gabungkan juga elemen nostalgia dalam segmen Retro Akustika,” kata Jo yang ditemui pada sesi latihan Barbarik di studionya baru-baru ini.

Sementara itu, disoal tentang penjualan tiket, Jo meluahkan rasa syukur dalam lambakan konsert tempatan dan luar negara, konsert Pentas Peluru Cokelat menerima sambutan yang memberansangkan daripada peminat.

“Alhamdulillah, jualan setakat ini amat memberansangkan. Tiket untuk ruangan VIP sudah habis terjual.

“Sekarang yang berbaki adalah tiket di bahagian arena bagi kategori berdiri (standing). Mungkin peminat kami ramai yang sudah berusia, jadi ramai yang memilih di ruangan tempat duduk.

“Cuma tidak mungkin konsert rock semuanya untuk duduk, tidak rock begitu (ketawa). Jadi, sebab itu pihak kami sediakan bahagian standing dan diharap terjual semuanya di saat akhir. Harga tiket standing tidak mahal hanya RM150 sahaja,” tutur Jo.

Konsert yang akan mendendangkan sekitar 21 buah lagu itu turut menampilkan barisan gitaris undangan seperti Shah Slam, Ujang Tukimon, Karl Crook dan Muzza.

Buat peminat yang ingin mendapatkan tiket, anda boleh layari laman web, ilassootickets.com atau boleh membeli secara walk-in di Zepp Kuala Lumpur.- KOSMO!ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |