MELAKA – Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir Melaka dengan stabil walaupun DAP mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas kerana BN sememangnya tidak pernah membentuk kerajaan secara rasmi bersama mana-mana parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Sebenarnya dalam majoriti pembentukan kerajaan Melaka selepas pilihan raya lalu, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendukung pembentukan kerajaan.
“Saya mengambil pendekatan semangat persefahaman yang ada di Putrajaya supaya persefahaman itu turut diwujudkan di Melaka tanpa membentuk kerajaan bersama mana-mana parti,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Mengulas pengumuman DAP yang menarik diri daripada pentadbiran negeri susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Ab. Rauf berkata, beliau menghormati pendirian parti berkenaan.
Menurutnya, hubungan BN dan DAP di Melaka sebelum ini lebih kepada semangat kerjasama selaras dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan bukannya berasaskan perjanjian rasmi.
“Keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama bernikah tidak berakad, bercerai tidak bertalak.
“Kita tidak ada satu perjanjian rasmi yang menyebabkan kita boleh menuntut apa-apa, jadi saya hormati keputusan parti mereka,” katanya.
Beliau berkata, keputusan DAP itu tidak akan membuka sebarang dinamika politik yang boleh menggugat kestabilan kerajaan negeri.
Sebaliknya, katanya, segala urusan pentadbiran, pelaksanaan projek pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan diteruskan seperti biasa.- KOSMO! ONLINE

9 hours ago
6















































