Dania Garage ubah imej tradisi bengkel motosikal

4 hours ago 4

SERDANG – Dibesarkan dalam dunia perniagaan berasaskan automotif dengan mengambil inspirasi daripada bapa dan abangnya, seorang anak muda bercita-cita besar mahu mengembangkan rangkaian outletnya ke seluruh negara, malah berazam untuk menaikkan standard bengkel motosikal ke peringkat lebih profesional.

Bagi merealisasikan impian tersebut, Ketua Pegawai Operasi Nawireton Legacy Sdn. Bhd., Mohammad Muizz Mohd Munawir, 31, yang mengoperasikan bengkel membaiki motosikal di bawah jenama Dania Garage di Sungai Chua, Kajang itu tidak boleh ‘go­yang kaki’ seperti adik tauke kepada pengasas bengkel seperti yang digambarkan dalam filem atau drama tempatan.

Tanggungjawabnya juga bukan duduk di kerusi empuk di bilik pentadbiran yang berhawa dingin atau berada di kaunter pembayaran untuk uruskan transaksi kewangan pelanggan tetapi beliau dilayan oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Mohd. Mustakim seper­ti kakitangan biasa dan hanya ditugaskan untuk membersihkan kekotoran pada enjin motosikal pada fasa awal.

“Saya bermula daripada pe­ringkat bawah, dalam tempoh sebulan awal, kerja saya adalah ‘pegang’ berus dan bersihkan kotoran enjin motosikal, sebulan kemudiannya dibenarkan memegang ‘spanar’ untuk membantu kerja-kerja asas pembaikan sampai mahir. Kemudian saya ditugaskan ke bahagian lain sehinggalah kini, sudah tujuh tahun bekerja di bengkel ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Dania Garage dengan kerjasama Petronas Sprinta di Universiti Putra Malaysia di sini baru-baru ini.

Melalui program tersebut, kerjasama yang turut disokong oleh Abang Minyak Hitam Jalanan (MHJ) itu, melibatkan sebanyak 1,000 botol minyak hitam diedarkan kepada pengguna dan 60 pelanggan terawal mendapat manfaat menukar minyak hitam secara percuma.

Mohammad Muizz menjelaskan, ini adalah program CSR sulung yang diadakan secara bekerjasama dengan Petronas Sprinta dan beliau teruja atas sambutan di luar dugaan kerana sejam sebelum majlis berlangsung, ramai pengguna khususnya pelajar di universiti berkenaan telah mula beratur di lokasi majlis.

Menurut beliau, program yang hanya berjalan dalam tempoh kurang daripada tiga jam itu dapat membantu ramai pengguna berjimat hampir RM50 daripada membeli minyak hitam di pasaran semasa apatah lagi, ada yang bernasib baik dapat menikmati servis menukar minyak hitam yang dikendalikan oleh kakitangan MHJ.

Mohammad Muizz berharap, program tersebut dapat diteruskan lagi pada masa depan dengan kerjasama dan sokongan da­ripada institusi pelajaran tinggi yang lain serta syarikat korporat untuk membantu mengurangkan beban kewangan pengguna motosikal dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini.

Sebelum ini, Dania Garage pernah menganjurkan program CSR secara kecil-kecilan tanpa bantuan daripada pihak swasta lain dengan menawarkan jualan tayar motosikal pada harga murah dan pastinya sambutan yang diterima di luar jangkauan syarikat.

Dania Garage hanya bermula beroperasi sebagai perniagaan keluarga di kawasan rumah kemudian dipertingkatkan daya saingnya beroperasi di kedai sete­rusnya memiliki empat cawangan antaranya di Kajang dan Semenyih.

Mengulas lanjut, gra­duan Jurusan Komunikasi Bahasa Melayu Profesional Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu menerangkan, syarikat mengunjurkan untuk memiliki 100 cawangan bengkel dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Namun, untuk perancangan masa terdekat ini, syarikat bakal membuka bengkel kelimanya di Kajang yang mana setiap outlet baharunya bakal menelan belanja lebih RM300,000 bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, pengubahsuaian premis dan stok barangan.

“Semuanya adalah daripada dana dalaman dan juga suntikan kewangan daripada pelabur yang menyakini jenama dan perniagaan kami yang menyambut ­ulang tahun syarikat ke-10 tahun ini,” ujarnya.

Lebih menarik, empayar Dania Garage kini memiliki lebih 80 kakitangan dan 60 daripadanya terdiri daripada mekanik berpengalaman, malah ada yang tiada pengalaman tetapi akan dilatih serta dibimbing untuk menjadi mekanik berkualiti tinggi.

“Kami sedang melatih mereka untuk memiliki kemahiran dalam bidang pengurusan dan pengoperasian bengkel motosikal melalui sistem pengurusan yang baik dan profesional agar mereka akan menjadi pengurus cawangan untuk outlet terbaharu kami pada masa depan.

“Ternyata usaha itu semakin menampakkan hasil apabila tiga daripada bengkel sedia ada yang kami buka, telah diuruskan oleh kakitangan kami yang setia dan komited selama ini.

“Lebih menarik, kami juga menawarkan konsep perkongsian keuntungan yang mana mereka dilatih untuk menjadi usahawan malah mampu mencapai indeks petunjuk prestasi (KPI) yang di­sasarkan syarikat,” terangnya.

Mohammad Muiz menjelaskan, jika melihat kepada KPI bagi dirinya juga, beliau mahu menjadikan bengkel motosikal Dania Garage yang memiliki standard moden yang lebih mesra pelanggan khususnya wanita yang selesa menunggu di bilik disediakan.

Tambah beliau, bengkel di ibu pejabatnya telah diubah suai menjadi sebuah premis yang lengkap untuk menawarkan khidmat membaiki dan ­menyelenggara motosikal sehingga 15 motosikal dalam satu-satu masa, manakala di outlet lain boleh menawarkan khidmat kepada 10 motosikal dalam satu-satu masa.

Lebih menarik, usahawan muda ini turut menjual dua peralatan utama motosikal iaitu tayar dan rantai motosikal di bawah jenama sendirinya, Metanov yang diimport untuk penjimatan kos jangka panjang sekali gus menawarkan margin yang lebih tinggi kepada usahawan yang mengendalikan bengkel Dania Garage.

“Untuk tempahan fasa pertama ini, produk tersebut telah hampir habis dijual kerana kami mahu jadikan ia sebagai projek sulung kearah menawarkan segmen peralatan berjenama sendiri sebagai salah satu pendapatan teras syarikat pada masa depan.

“Lebih banyak lagi peralatan lain motosikal yang akan dibangunkan di bawah jenama Metanov,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |