‘Dah bisik dengan Kak Rozie’ – Ernie, Siti rakam lagu duet bersama?

1 day ago 8

PETALING JAYA – Bakal muncul dengan album berjudul Sahabat hujung tahun ini, penyanyi Ernie Zakri tidak menolak seandainya berpeluang memuatkan sebuah lagu duet dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata, menjadi impian terbesarnya berpadu vokal dengan Siti yang merupakan antara idolanya dalam dunia seni suara.

“Insya-Allah, semua benda masih dalam perancangan. Ada penambahan penyanyi sebenarnya. Jadi, kita akan dedahkan tidak lama lagi sama ada ada atau takda (Siti Nurhaliza).

“Saya berdoa agar karier saya panjang supaya saya sempat dan dapat berduet dengan individu hebat terbabit,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media single terbaharunya dengan penyanyi Indonesia, Anggi Marito berjudul Kisah Penuh Kecewa, di sini, hari ini.

Inginkan yang terbaik andai impian berduet dengan Siti menjadi kenyataan, Ernie berkata, dia menghormati susuk bernama Siti Nurhaliza yang semestinya sangat sibuk dengan banyak perkara termasuk dalam kerjaya dan peribadi.

“Buat masa sekarang, lagu dengan Siti belum ada lagi. Saya sangat berharap dapat merakamkan lagu duet bersama tapi semua ini harus dirancang dengan teliti.

“Saya pasti dan sangat yakin yang beliau juga sangat sibuk sebab kami di bawah bumbung yang sama (Universal Music Malaysia). Sudah tentu saya tahu, beli sedang sibuk menguruskan banyak benda sekarang ini.

“Perancangan kena berjalan dengan baik untuk kedua-dua pihak. Saya dah bisik-bisik dengan Kak Rozie (pengurus). Itu yang saya mampu setakat ini,” katanya lagi.

Menurut Ernie, Album bertajuk Sahabat yang bakal diluncurkan tidak lama lagi akan memuatkan 10 buah trek termasuk Kisah Penuh Kecewa (duet dengan Anggi Marito). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |