Dada doktor sesak bahana pesakit dari ‘neraka’

4 hours ago 3

PETALING JAYA – “Sedih, walaupun air mata tidak turun, tapi dada aku sesak.”

Demikian cerita Dr. Md. Azhari Md. Zhahir mengenai pengalaman dikongsi rakannya yang dikenali sebagai Dr. Zakwan sewaktu berdepan dengan pesakit yang didakwa tidak berperikemanusiaan.

Menurut perkongsiannya di Facebook, kejadian berlaku apabila seorang wanita membawa anaknya yang mengalami demam panas ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan.

Dr. Md Azhari memaklumkan bahawa setelah kanak-kanak tersebut diperiksa dengan penuh teliti dan mendapati tanda-tanda tonsil merah serta suhu badan yang tinggi.

Namun, selepas rawatan selesai, wanita terbabit mempersoalkan harga ubat yang diberikan dan membandingkannya dengan harga di farmasi lain.

“Aku periksa perlahan keadaan anak itu dan mendapati tonsil merah, suhu tinggi. Aku juga terangkan rawatan siap labelkan satu-satu ubat dengan tangan aku sendiri.

“Tapi sebaik staf aku serahkan ubat tersebut kepada emak budak itu, dia ‘tembak’ aku dengan kata harga ubat mahal, sedangkan di farmasi jual RM10 sahaja. Dia kata aku tiada hati dan tidak memikirkan anaknya yang sedang sakit,” tulisnya pada hantaran tersebut.

Ujarnya, lebih mengejutkan apabila wanita itu kemudiannya memuat naik hantaran di media sosial yang menuduh klinik tersebut mengenakan caj melampau.

“Ini menyebabkan aku diminta oleh pihak Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) untuk memberi penjelasan bertulis.

“Esoknya, aku nampak ada post (hantaran) viral, ada nama klinik dan nama aku. CKAPS telefon beritahu ada dapat aduan tentang klinik aku jual ubat mahal dan suruh tulis penjelasan bertulis dalam masa tujuh hari,” ujarnya.

Tambah Dr. Md Azhari, tuduhan tersebut menjejaskan reputasi klinik itu dan memberi kesan kepada keyakinan pesakit serta semangat kakitangan.

“Aku imbas balik waktu awal buka klinik, potong reben dengan tangan sendiri, keluar gembira tapi kini reputasi jatuh, pesakit jadi ragu, pekerja pun tengok aku pelik,” luahnya.

Apa yang lebih mengecewakan, wanita tersebut pernah datang semula ke klinik pada waktu malam kerana anaknya mengalami sesak nafas.

Namun dia langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah atas tindakannya sebelum ini.

Meskipun terguris, doktor berkenaan memilih untuk memaafkan wanita tersebut, walaupun mengakui layanan diterimanya sangat tidak wajar.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati rata-rata netizen mengecam tindakan wanita terbabit yang disifatkan biadab dan tidak bertimbang rasa.

“Memang kalau ikut hati, aku pun tutup pintu dan suruh pergi kecemasan hospital, sebab kalau jadi apa-apa dekat anak dia akan mengadu pula doktor tak rawat anak dia betul-betul,” komen Siti Azlina.

“Dah itu kenapa kau datang klinik swasta kakak? Pergilah bawa anak kau ke hospital atau klinik kerajaan kalau nak murah!” kata Nia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |