Culik budak: ‘Mana-mana pun boleh lah’

6 hours ago 6

‘SEBERANG PERAI – Seorang warga emas yang didakwa menculik seorang kanak-kanak dan melarikan sebuah kereta jenis Toyota Corolla, Jumaat lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jaafar Sidek Darus,63, selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang iaitu ibu kandung mangsa di tepi bengkel ZY Auto Service Jalan Penaga, Kepala Batas di sini, kira-kira pukul 5.30 petang, 20 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan ekoran melarikan sebuah kereta jenis Toyota Corolla milik seorang lelaki di lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh kelihatan berada dalam keadaan keliru apabila pada awal dia membuat pengakuan bersalah namun tiba-tiba telah menukar pula pengakuan kepada tidak bersalah.

Tidak lama kemudian, tertuduh sekali lagi mengubah kenyataannya dan memaklumkan bahawa dia tidak kisah dikenakan hukuman penjara.

“Mana-mana pun boleh lah…” katanya sejurus jurubahasa membacakan sekali lagi pertuduhan ke atasnya selepas dia memaklumkan tidak memahami keterangan yang dibacakan itu.

Susulan itu, Aini Adilah menetapkan 30 Jun depan bagi sebutan semula kes bagi membolehkan mahkamah menilai sama ada tertuduh perlu dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian kesihatan mental.

Jumaat lalu, Kosmo! Online melaporkan polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun selepas kereta yang dinaikinya dilarikan suspek dari sebuah bengkel kenderaan di Jalan Penaga hingga 12 kilometer.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) bisu berada di dalam sebuah kereta jenis Toyota Corolla dalam keadaan enjin masih hidup manakala ibunya keluar untuk menghantar minyak hitam kepada bapa mangsa di bengkel terbabit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |