KISAH penuh debaran dan permainan kuasa dalam dunia politik kembali menghiasi skrin apabila Astro Originals mempersembahkan siri premium terbaharu berjudul Honey Trap.
Mengangkat kisah perisik wanita, naskhah thriller ini menjanjikan pengalaman tontonan yang sarat emosi dan aksi mendebarkan, sekali gus menyambung dunia fiksyen Masraya yang diperkenalkan dalam siri Kudeta sebelum ini.
Diterajui pelakon baharu, Nina KSC sebagai perisik wanita hebat bernama Surya Gabriel, siri ini mengisahkan misi penuh ranjau dalam mengekang ancaman keselamatan negara.
Namun, misi tersebut menjadi semakin rumit apabila hubungan romantik yang tidak disangka mula menguji integriti dan kesetiaan watak utama.
Penerbit Eksekutif Honey Trap merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, membawakan perspektif baharu dalam genre perisikan tempatan yang diterajui oleh wanita.
“Jika Kudeta memfokuskan kuasa dan politik secara besar-besaran, Honey Trap pula lebih bersifat peribadi dan mendalami sisi psikologi dan isu sosial seperti kesihatan mental di tempat kerja, ketidakseimbangan kuasa dalam organisasi dan manipulasi yang sering tersembunyi di sebalik struktur pihak berkuasa.
“Elemen-elemen ini jarang diketengahkan dalam genre sebegini. Kami percaya, ini akan memberikan pengalaman tontonan yang segar, berani dan relevan, bukan sahaja kepada peminat drama thriller tetapi juga untuk penonton yang mahu elemen cerita menyentuh jiwa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penjenamaan dan Pengedaran Filem Astro Shaw, Norsalvina Alwee turut berkongsi bahawa Honey Trap memperkenalkan elemen perisikan yang lebih kompleks dan penuh konspirasi berbanding drama terdahulu.
“Drama ini berkisahkan perisik wanita dalam dunia politik yang dipenuhi elemen permainan dan perebutan kuasa politik.
“Honey Trap juga lanjutan daripada drama Kudeta, jadi kita suntikkan elemen perisikan yang lebih kompleks penuh konspirasi seperti yang ditunjukkan menerusi iklan acah,” jelasnya.
Penulis skrip Honey Trap, Imran Sheik pula berkata, pendekatan unik diambil dalam membina karakter utama drama ini, Surya Gabriel lakonan Nina KSC.
“Surya Gabriel sebagai seorang perisik akan cuba mencari apa yang disukai oleh subjek sasarannya. Seperti kita dapat lihat dia mengenakan set kebaya kerana lelaki itu suka melihat wanita berkebaya.
“Kalau subjek lain suka wanita memakai jaket kulit, dia akan pakai itu pula. Untuk menampilkan jalan cerita yang lebih segar, kita menonjolkan Surya ini berkebaya ketika pergi ke Jazz Club. Jadi watak Surya ini akan ‘adapt’ dengan subjek yang dirisiknya,” katanya.
Bagi pelakon utama drama, Honey Trap iaitu Nina Kho atau nama sebenarnya Nina Kho Siew Ching, 33, mengakui dia berdepan cabaran besar dalam menjayakan karakter seorang ejen risikan wanita.
“Cabaran terbesar saya adalah untuk bertutur dengan lebih lancar dalam Bahasa Melayu kerana saya sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan di China.
“Oleh itu, saya bersyukur dan ingin memberi penghargaan buat semua kru, produksi dan pengarah drama ini yang sangat membantu saya untuk membawa watak Surya. Kami ada sesi latihan bersama pelakon hebat, Susan Lancaster sebelum masuk ke set sebenar,” katanya.
Pelakon, Syarul Ezani atau nama lengkapnya Syarul Ezani Mohamed Ezzuden, 34, pula membawakan watak individu tanpa kerakyatan yang menyertai dunia perisikan selepas melalui pengalaman hidup yang mencabar.
“Watak saya dalam drama Honey Trap ialah seorang individu tanpa kerakyatan yang tinggal di sebuah perkampungan, sama seperti ibunya.
“Namun dalam perjalanan, dia akhirnya menjadi aset kepada sebuah organisasi ejen perisikan dan dari situlah, segalanya menjadi huru-hara dan jauh lebih berbahaya dan sesuatu yang bakal menanti para penonton,” katanya.
Honey Trap dijangka menjadi antara drama yang membuka dimensi baharu dalam penceritaan perisikan tempatan dengan menampilkan kombinasi psikologi dan kuasa dalam suasana penuh teka-teki serta emosi.
Selain Nina Kho dan Syarul Ezani, siri ini juga dibintangi Ungku Ismail, Irfan Zaini, Ayez Shaukat Fonseka, Michael Chen, Chazzy Nash, Amyza Aznan, Eugene Ong, May June, Dai Fuad dan Sefik Khair.
Honey Trap mula bersiaran pada 20 Jun lalu menerusi sooka, Astro Citra dan Astro Ria.