COO didenda RM100,000 gagal lapor kes rasuah

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Operasi (Operasi dan Projek) ProLintas, Rostam Shahrif Tam didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu gagal melaporkan penerimaan rasuah berjumlah RM90,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Rostam, 59, selepas menerima pengakuan bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Mengikut pertuduhan, Rostam didakwa gagal melaporkan suapan yang diterima daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn. Bhd. (STSB) melalui seorang individu bernama Mohd. Rosman Alias di sebuah restoran di Bandar Kinrara, Puchong pada 20 Februari 2023.

Suapan itu merupakan dorongan kepada tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai wakil pegawai penyelia untuk menganugerahkan pakej kerja kepada syarikat tersebut bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE).

Rosli berkata, tertuduh akan dipenjara selama 10 bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan wang dan barangan yang disita SPRM berkaitan kes itu dilucuthak kepada kerajaan.

Ia melibatkan wang tunai melebihi RM1 juta, termasuk bon jaminan bernilai RM114,000 untuk tujuh utas jam mewah dan dua buah kereta, selain RM180,000 dalam akaun Tabung Haji milik tertuduh.

Tertuduh sebelum ini turut berdepan dua lagi pertuduhan rasuah yang diambil kira oleh mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum berbentuk denda dan penjara sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun tertuduh diwakili peguam bela Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam rayuannya memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda maksimum dan tidak memenjarakan anak guamnya atas alasan ia merupakan kesalahan pertama.

Berdasarkan fakta kes, hasil penerimaan wang rasuah tersebut Rostam Shahrif telah menggunakan dan melupuskan wang tersebut bagi tujuan kegunaan peribadi termasuk pembelian tujuh jam tangan mewah milik tertuduh serta dua buah kenderaan yang didaftarkan atas nama dua anak tertuduh.

Harta-harta alih tersebut telah disita daripada tertuduh oleh SPRM. Tertuduh juga telah membayar bon berjumlah RM114,000 untuk harta-harta alih yang disita tersebut.

Hasil siasatan pihak SPRM, pemandu tertuduh telah menyembunyikan wang rasuah yang diterima Rostam Shahrif daripada kontraktor-kontraktor yang terlibat di dalam projek SUKE termasuk daripada STSB.

Tertuduh turut menerima wang tunai RM180,000 daripada sebuah syarikat lain yang mana wang berkenaan telah dimasukkan ke akaun Tabung Haji milik tertuduh, malah pihak SPRM juga membuat sitaan terhadap mata wang asing. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |