‘CEO Batu’ direman, bagi ‘mesej’ kepada budak bawah umur

6 hours ago 5

GOMBAK – Polis menahan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai “CEO Batu” susulan dakwaan menghantar mesej dan gambar berunsur seksual kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, suspek yang juga seorang pempengaruh media sosial berusia 22 tahun itu ditahan selepas ibu mangsa tampil membuat laporan polis pada semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek menghantar beberapa imej tidak senonoh dan mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu melalui aplikasi media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Polis memandang serius kesalahan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta segera melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Aldrin Anak Pegie di talian 012-254 9543 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-6126 2222.

Terdahulu, media tempatan melaporkan penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan mengenai beberapa kiriman mesej di media sosial yang didakwa berbaur lucah dihantar oleh pempengaruh terbabit kepada remaja bawah umur itu.

Menerusi beberapa hantaran Caprice di laman Instagramnya, dia dihubungi ibu kepada remaja terbabit yang meminta bantuan selepas anaknya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.

Antara tangkap layar yang dikongsikan adalah kiriman mesej berserta gambar yang tidak senonoh dipercayai dengan niat untuk menunjukkan parut kesan pembedahan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |