PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial Marissa Dania menegaskan komen yang ditulisnya dalam TikTok baru-baru ini mengenai kebahagian palsu tidak mempunyai kaitan dengan rumah tangga suaminya, Aslam dan isteri pertama, Umisya Mazlan.
Tampil membersihkan nama, Marissa, 20, yang juga anak kepada pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi itu berkata, dia bukan individu yang akan membicarakan tentang hal orang lain dalam media sosial.
Dia bahkan sudah menghubungi seorang individu dipercayai Umisya bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku.
“Saya ini, nak cakap pasal diri sendiri pun jarang sekali, apatah lagi hendak bercakap tentang orang lain.
“Jadi, saya jelaskan kepada Umisya untuk mengelakkan salah faham dan konflik.
“Ya, WhatsApp tidak pernah disekat ya. Instagram dan TikTok (disekat) hanya untuk menjaga emosi sendiri serta kehidupan masing-masing,” katanya dalam Instagram Story semalam.
Marissa menambah, segala permasalahan yang berlaku dalam kehidupan peribadinya termasuk rumah tangga diselesaikan secara tertutup tanpa perlu dihebahkan kepada umum.
“Saya tak pernah selesaikan sebarang isu secara terbuka, sebab itu orang tidak tahu. Ini cara saya pilih apabila berdepan dengan masalah.
“Apa sahaja isu dan terkait dengan siapa pun, semuanya secara privasi. Tapi, hanya saya yang selalu mencuba menyelesaikan masalah secara privasi.
“Saya okey dengan semua ini tapi jangan buat orang lain pula yang salah faham sampai membenci,” katanya lagi.
Terdahulu, Marissa sekali lagi mengundang perhatian ramai selepas menasihatkan netizen agar tidak mudah tertipu dengan lakonan kemesraan yang ditunjukkan Aslam dan Umisya.
Komen tersebut ditinggalkan Marissa bagi membalas komen netizen dalam salah satu konten TikToknya yang mengatakan Aslam tidak boleh berdiam diri apabila disekat oleh Umisya.
“Awak jangan tunjuk sangat senang digula-gulakan,” tulis Marissa namun komen tersebut sudah dipadamnya tidak lama kemudian.
Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai pada Januari tahun lalu selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim. – KOSMO! ONLINE